Football

Persib mahu singkirkan Carlton Cole

Dari pemain berstatus marquee kepada pemain yang bakal dibuang.

Nampaknya mimpi indah bergelar pemain berstatus marquee mungkin berakhir buat penyerang Persib, Carlton Cole.

Gagal menjaringkan sebarang gol selepas lapan perlawanan, bekas penyerang Chelsea dan West Ham itu dikatakan akan disingkirkan oleh pihak pengurusan Persib Bandung.

Pengurus Persib, Umuh Muchtar mengumumkan bahawa kelab akan melepaskan Cole dan mencari penyerang baru bagi membantu pasukan.

“Kami harus mencari pengganti Cole secepat mungkin. Mungkin kami perlu mengorbankan wang yang banyak untuk menggantikannya, tetapi itu tidak apa,” kata Umuh seperti dilaporkan oleh Goal Indonesia.

Menjawab khabar mengenai penyingkirannya itu, Cole menyatakan bahawa dia belum menerima sebarang berita rasmi dari kelab yang berpengkalan di Bandung itu.

“Saya juga benar-benar tidak tahu apa masalah dia (Umuh) dengan saya. Saya tidak melakukan sebarang kesalahan,” kata Cole seperti dilaporkan oleh Kompas.com.

Cole tidak disenaraikan dalam daftar pasukan ketika Persib bertandang ke Bali bagi perlawanan bertemu Bali United pada hari Rabu lalu.

Dia juga dikatakan tidak akan terlibat dalam perlawanan bertemu Bhayangkara FC di Stadium Patriot pada hari Ahad nanti.

Bekas pemain England ini sekadar beraksi selama 105 minit buat pasukan yang digelar Maung Bandung ini sejak menyertai kelab yang dikendalikan oleh Djadjang Nurdjaman itu.

Namun, Persib masih perlu bersabar dan berharap Cole akan menemui rentaknya kerana jendela perpindahan hanya akan dibuka kembali apabila separuh pertama liga berakhir.

Other posts by