Football

Tiada Ezra Walian dalam skuad Indonesia bertemu Kemboja dan Puerto Rico

Nampaknya kejutan berlaku dalam kem skuad kebangsaan Indonesia yang akan bertemu Kemboja dan Puerto Rico pada bulan Jun nanti.

Kejutan berlaku apabila jurulatih Indonesia tidak memanggil pemain muda yang menjadi sebutan peminat, Ezra Walian menyertai skuad Garuda bagi perlawanan persahabatan tersebut.

Keputusan ini pastinya menimbulkan rasa terkejut dan kecewa penyokong yang mahu melihat aksi bekas pemain skuad muda Ajax Amsterdam selepas dia mendapat taraf kewarganeraan Indonesia.

Ezra sebelum ini telah mengikuti kem latihan pusat di Bali pada 22 hingga 27 Mei dan berada dalam kesebelasan utama ketika pasukan Indonesia menentang Persewangi dalam satu perlawanan latihan pada hari Rabu lalu.

Selain itu, Ezra turut beraksi dalam perlawanan menentang Bali United pada hari Jumaat lalu. Ezra beraksi dalam separuh masa kedua perlawanan.

Luis Milla menjelaskan sebab kenapa dia menggugurkan nama Ezra Walian dalam skuadnya seperti dilaporkan oleh Juara.net.

“Luis Milla mahu dia menumpukan perhatian untuk mencari kelab baru,” ujar wakil pengurus skuad kebangsaan Indonesia, Fanny Riawan.

Buat masa ini, Ezra dan bapanya Glenn Walian masih dalam proses perbincangan dan membuat keputusan untuk menyertai beberapa kelab di Eropah.

Menurut laporan media Indonesia, setakat ini terdapat beberapa kelab termasuk dari Liga Perdana Inggeris, juara Liga Perancis, Monaco, dan juga kelab dari Belanda yang berminat untuk mendapatkan Ezra.

Selain Ezra Walian, turut tidak dipanggil oleh Milla adalah pemain berpengalaman skuad Garuda, Evan Dimas, Hansamu Yama, dan Putu Gede.

Menggantikan tempat mereka dalam skuad kebangsaan adalah lima pemain senior seperti Kurnia Meiga, Fachruddin, Irfan Bachdim, Bayu Pradana dan Stefano Lilipaly.

Skuad kebangsaan Indonesia akan beraksi menentang Kemboja di tempat lawan pada 8 Jun nanti sebelum menerima kedatangan Puerto Rico pada 13 Jun di Stadium Maguwoharjo, Sleman.

Other posts by