Football

Filipina atur perlawanan persahabatan menentang China

Ada yang mengatakan ianya perkara sia-sia, ada yang mengatakan ia penting.

Perlawanan persahabatan.

Pengurus kelab yang sedang bersaing di liga kadang-kala tidak menggemarinya kerana ada pemain yang mungkin akan pulang dengan kecederaan di saat mereka sedang merebut kejuaraan atau bersaing mengelak penyingkiran.

Tapi, bagi jurulatih pasukan kebangsaan, perlawanan persahabatan adalah penting untuk menguji pemain baru atau untuk dia melihat sendiri jika pemain mampu mengikut corak permainannya. Selain itu, ia juga medan untuk pemain menyesuaikan diri dengan pasukan yang mungkin mempunyai corak permainan yang sama dalam perlawanan kelayakan atau piala.

Skuad kebangsaan Filipina dijadual bertemu skuad kebangsaan China pada 7 Jun nanti.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Filipina (PFF) , Edwin Gastanes, mengumumkan pada 22 Mei lalu mengenai perlawanan persahabatan menentang pasukan China di Guangzhou, China nanti.

Perlawanan tersebut merupakan pertemuan pertama kedua-dua pasukan sejak kali terakhir bertemu dalam perlawanan kelayakan Piala Asia pada tahun 2000. Satu perlawanan yang pastinya tidak mahu diingati Filipina kerana mereka tewas 8-0.

“Kami akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan Republik Rakyat China pada 7 Jun nanti,” kata Gastanes seperti dipetik dari laman web rasmi PFF.

“Kami akan memulakan perbincangan dengan pasukan dalam Liga Bolasepak Filipina (PFL) kemungkinan untuk mereka melepaskan pemain untuk tugasan kebangsaan seawall 5 Jun 2017.”

Perlawanan tersebut akan menjadi medan ujian buat The Azkals sebelum mereka bertemu Tajikistan dalam perlawanan kelayakan Piala Asia Jordan 2019 yang akan berlangsung di Dushanbe, Tajikistan pada 13 Jun.

Buat masa ini, Filipina berada di kedudukan ke-127 dalam ranking FIFA sementara China berada di kedudukan ke-81.

Pastinya Filipina akan berusaha untuk memastikan agar keputusan lebih baik akan dicapai dalam perlawanan tersebut dan tidak mahu sejarah 8-0 berulang lagi.

Other posts by