Football

Peminat sukan dan bolasepak pertahan KJ

Nampaknya ramai peminat bolasepak dan sukan di Malaysia mempertahan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin ekoran kritikan dari Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mengenai ketidak hadiran KJ ke perlawanan akhir Piala FA di antara Kedah dan Pahang pada hari Sabtu lalu.

Dalam kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers itu, TMJ menyelar tindakan Khairy yang tidak hadir ke perlawanan tersebut dan mengutamakan program askar wataniah pada malam tersebut.

Dalam kenyataan tersebut, TMJ berkata: “Janganlah hanya memilih untuk pergi ke aturcara yang anda pasti akan menjadi tumpuan majlis tetapi apabila sebaliknya, tidak mahu pergi kerana sudah tahu anda tidak menjadi tumpuan.

“Apabila anda telah menjadi seorang menteri atau ahli politik, yang sebetulnya adalah mengenai berkhidmat kepada rakyat dan institusi negara, bukan berkhidmat untuk kepentingan diri sendiri.

“Kalau setakat mahu menjadi popular, lebih baik menjadi selebriti, bukannya memegang jawatan sebagai seorang menteri atau ahli politik.”

Tapi nampaknya kenyataan yang dibuat TMJ itu tidak dipersetujui oleh ramai peminat sukan dan bolasepak tanah air.

Ramai yang mempertahan Khairy Jamaluddin di media sosial dengan mengatakan bahawa Khairy adalah seorang Menteri Belia dan Sukan yang cukup aktif dan berkerja keras untuk menaikkan imej sukan di Malaysia.

https://twitter.com/the_melayupost/status/867007484069781504

Selain dari beberapa sokongan yang serius, ada juga yang menyokong KJ dengan cara berjenaka dan menunjukkan KJ menjual ayam percik dalam satu video yang disiarkan suatu ketika dahulu.

Demi perkembangan bolasepak di Malaysia, pastinya pertembungan antara dua individu penting ini adalah tidak wajar. TMJ dan KJ akan memainkan peranan penting bagi membantu menaikkan bolasepak di Malaysia suatu hari nanti.

TMJ dan KJ mempunyai kehebatan masing-masing. TMJ dengan pengalaman Baginda menaikkan bolasepak Johor sehingga menjuarai Piala AFC dan KJ dengan program pembangunan bolasepaknya, NFDP, yang telah menyebabkan ramai pemain muda menarik perhatian kelab luar.

Gabungan dua individu penting ini sangat diperlukan bolasepak Malaysia. Mereka berdua akan menjadi kunci kepada kebangkitan bolasepak Malaysia.Oleh itu, wajar mereka menyelesaikan perkara ini dengan cara yang matang dan profesional.

Semoga TMJ dan KJ dapat mengenepikan segala masalah dan bergabung untuk menyelamatkan bolasepak Malaysia supaya impian kita untuk melihat Malaysia beraksi di Piala Dunia akan dapat tercapai.

Other posts by