Football

Raja Sweden mahu bertemu penyokong Viking Persib

Nampaknya kehebatan penyokong Persib yang bergelar Viking bukan sahaja terkenal di Indonesia atau negara Asean, tetapi juga di seluruh dunia.

Populariti Viking Persib ini turut menarik perhatian raja dari sebuah negara yang cukup terkenal dengan sejarah mengenai kehebatan Viking itu sendiri suatu ketika dahulu.

Raja Sweden, Carl XVI Gustaf yang sedang berada di Indonesia dalam rangka lawatan ke negara tersebut dikhabarkan akan bertemu dengan penyokong Viking Persib dalam satu program.

Perkara ini diumumkan oleh Wali Kota Bandung, Ridwan Kamil menerusi laman Twitternya. Dia menyebut bahawa pertemuan tersebut merupakan salah satu dari pengenalan budaya di antara dua negara tersebut.

“Warga Bandung, pada hari Rabu, Raja Sweden akan mengunjungi Bandung. Dia juga akan ditemukan dengan bobotoh Viking Persib, untuk mengeratkan perhubungan, “ tulis Ridwan.

Raja Sweden, Carl XVI Gustaf tiba di Indonesia pada 21 Mei 2017 dan didampingi permaisuri baginda, Ratu Silvia serta 35 ahli perniagaan dari negara tersebut.Baginda telah bertemu Presiden Indonesia, Joko Widodo pada hari Isnin lalu di Istana Bogor.

Pastinya satu perkara menarik apabila seorang raja yang cukup terkenal dengan sejarah mengenai kehebatan pahlawan Viking akan bertemu penyokong Persib yang juga terkenal dengan kehebatan mereka dan julukan Viking. Ianya seperti seorang raja bertemu rakyatnya yang tinggal di luar negara. Pastinya sambutan hebat akan diberi oleh bobotoh Viking Persib untuk Raja Sweden, Carl XVI Gustaf nanti.

Other posts by