Football

Gian Zola jadikan pemain Thailand dan T-Team sebagai contoh

Kebiasaannya seorang pemain muda akan menjadikan pemain-pemain yang beraksi di Eropah sebagai idola mereka.

Pemain seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Neymar, Luis Suarez atau mungkin pemain legenda seperti Ronaldinho, Ronaldo, Andrea Pirlo dan Paul Scholes seringkali disebut sebagai pemain yang menjadi ikutan pemain muda sekarang.

Jarang sekali kita mendengar pemain dari negara lain yang menjadikan pemain dari Asia Tenggara sebagai ikutan mereka.

Namun tidak bagi pemain lincah Persib Bandung, Gian Zola Nasrulloh Nugraha.

Pemain berusia 18 tahun itu yang cukup hebat di bahagian serangan dengan sering mengucar-ngacirkan pertahanan lawan itu meminati seorang pemain yang berasal dari negara Asia Tenggara.

“Chanatip Songkrasin dari Thailand, walaupun tubuhnya kecil tetapi permainannya sangat bagus,” kata Zola yang dipetik dari laman web rasmi Persib.

Gian Zola merupakan antara pemain muda yang menjadi perhatian sejak beraksi untuk Persib. Kelibat Zola banyak membantu Persib untuk terus berada dalam saingan merebut kejuaraa Liga 1 Indonesia musim ini.

Zola yang merupakan anak jati Bandung sebelum ini juga pernah beraksi untuk skuad bawah 21 tahun Persib Bandung.

Walaupun namanya persib pemain legenda Chelsea, Gianfranco Zola, Gian Zola pernah bergelar sebagai pemain terbaik Asia Pasifik dalam kejohanan Manchester United Premier Cup pada tahun 2013 yang berlangsung di Trafford Training Centre, Carrington, Manchester.

Selain Chanatip, Zola turut menjadikan dua bekas pemain Persib sebagai contoh untuk dia beraksi dengan baik.

“Saya ingin menjadi diri sendiri. Tapi Firman Utina dan Makan Konate merupakan contoh buat saya sebagai pemain muda. Bukan sahaja mereka, tetapi semua pemain senior di sini saya boleh belajar dari mereka.

“Ditambah saya sering bersama dengan pemain-pemain senior. Michael Essien juga sering memberi motivasi sehingga dapat meningkatkan keyakinan pemain muda seperti saya,” kata Zola dalam satu wawancara bersama Bola.com.

Persib kini berada di kedudukan kedua Liga 1 Indonesia selepas mencatat tiga kemenangan dan tiga seri dalam enam perlawanan. Persib akan melihat untuk memanjangkan lagi rekod tanpa kalah mereka apabila menerima kunjungan Pusamania Borneo FC di Stadium Gelora Bandung Lautan Api pada 20 Mei nanti.

Other posts by