Menjelang jendela perpindahan pertengahan musim, pastinya semua pasukan sudah mula mencongak untuk membawa masuk pemain baru sama ada pemain import atau tempatan untuk memperkuat pasukan.
Sebagai contoh, Johor Darul Takzim (JDT) dilihat menunggu masa untuk menandatangani penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar bagi memperkuat pasukan.
Sementara itu, di utara tanah air, nampaknya kita mungkin akan melihat seorang pemain bersatu kembali dengan jurulatih lamanya dahulu.
Pemain Kuala Lumpur, Azidan Sarudin dikhabarkan bakal bersatu kembali dengan bekas jurulatihnya ketika bermain bersama pasukan Pahang, Zainal Abidin Hassan.
Azidan dilihat berlatih bersama pasukan Pulau Pinang menjelang jendela perpindahan pemain dan akan membantu skuad Harimau Kumbang dalam misi mereka untuk terus kekal di Liga Super.
Bekas pemain tengah itu menyertai Kuala Lumpur buat kali kedua dalam tempoh dua tahun pada awal musim ini. Pada musim lalu, Azidan turut menyertai Kuala Lumpur pada awal musim tetapi berhijrah ke Air Asia FC di pertengahan musim lalu.
Zainal Abidin Hassan menyertai Pulau Pinang sebagai jurulatih selepas dipecat sebagai jurulatih Selangor pada Ogos tahun lalu disebabkan persembahan buruk Selangor dalam saingan liga dan Piala Malaysia.
Bersama Pahang, Azidan dan Zainal berjaya memenangi Piala FA dan Piala Malaysia pada tahun 2014.
Selain Azidan, seorang lagi pemain yang dilihat berlatih bersama pasukan Pulau Pinang adalah bekas penyerang Sabah, R. Surendran.
R.Surendran juga pernah beraksi bersama Pahang pada tahun 2010-2011. Pemain berusia 34 tahun ini juga pernah beraksi bersama pasukan Selangor dan Perak.
Surendran beraksi untuk Sabah pada tahun 2015 dan memulakan kariernya bersama Perak pada tahun 2003 sebelum berhijrah ke Selangor pada tahun 2007. Surendran juga pernah beraksi bersama pasukan ATM sebelum dipinjamkan ke Perak pada tahun 2013.
Pulau Pinang kini berada di tangga tercorot Liga Super 2017 selepas hanya mencatat satu kemenangan, dua seri dan sembilan kekalahan dari 12 perlawanan liga.
Pulau Pinang juga tidak akan beraksi dalam saingan Piala Malaysia 2017 musim ini selepas tidak layak disebabkan kedudukan mereka dalam saingan pertengahan pertama Liga Super.
Zainal dibawa masuk untuk menggantikan jurulatih dari England, Ashley Westwood selepas persembahan hambar Pulau Pinang dalam kancah Liga Super dan Piala FA.
Other posts by Khairul Nizam