Football

Bekas pemain kebangsaan Indonesia bidas susunan jadual Liga 1

Baru enam perlawanan berlangsung di Liga 1 Indonesia sudah ada pemain yang merungut mengenai susunan jadual perlawanan.

Bekas pemain kebangsaan Indonesia, Ponaryo Astaman telah mengkritik susunan jadual perlawanan yang diatur oleh PT LIga Indonesia Baru (LIB) selaku organisasi yang mengurus LIga 1 Musim 2017.

Sebenarnya apa yang dikatakan oleh Ponaryo yang juga ketua pasukan Borneo FC itu ada betulnya dan bukan sekadar keluhan yang tidak berasas.

Selepas menewaskan Persegres Gresik United 3-0 pada Sabtu (29/4/2017), Borneo FC perlu terbang ke Papua untuk menentang Persipura Jayapura pada hari Selasa (2/5/2017).

Bahkan, perlawanan terakhir untuk hari perlawanan ke-3 di antara Persiba Balikpapan menentang Arema FC adalah pada hari Isnin (1/5/2017) dan perlawanan pertama hari ke-4 perlawanan adalah perlawanan Borneo FC menentang Persipura sehari selepas itu.

“Jadual sangat tidak ideal. Waktu rehat kami sangat kurang. Belum ditambah lagi masa perjalanan yang panjang. Tapi kita akan tetap berusaha semaksimum mungkin untuk kembali segar secepat mungkin dengan perubahan program latihan dan recovery,” kata Ponaryo seperti dipetik dari Tribunnews.

Ponaryo yang merupakan Ketua Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Indonesia (APPI) itu berharap badan pentadbir liga akan melihat perkara itu dan menyusun jadual dengan lebih baik.

“Hanya ini pesanan untuk penganjur, lihatlah jarak di antara perlawanan ketika menyusun jadual.

“Kerana kami (pemain) bukan robot, mereka juga perlu waktu untuk berehat dan kembali cergas,” tambah bekas pemain Persija Jakarta itu.

Borneo FC kini berada di kedudukan ke-13 liga dengan tujuh mata selepas enam perlawanan. Borneo FC mencatatkan dua kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan menjelang perlawanan menentang Persib Bandung pada 20 Mei ini.

PSM Makassar kekal di puncak liga dengan 13 mata sementara Persib Bandung di kedudukan kedua dengan 12 mata.

Tugas sukar buat anak buah Dragan Djukanovic apabila mereka perlu berkerja keras untuk memberikan kekalahan pertama kepada Persib Bandung yang dibarisi pemain ternama seperti Michael Essien, Carlton Cole dan Raphael Maitimo.

Persib Bandung dan PS TNI merupakan dua pasukan dalam Liga 1 Indonesia yang masih belum tewas selepas enam perlawanan liga.

Other posts by