Football

Chan Vathanaka berminat untuk beraksi di Liga Indonesia

Nampaknya kehangatan Liga Indonesia bukan sahaja menarik minat pemain-pemain Eropah yang sudah berusia, tetapi juga bintang-bintang dari Asia Tenggara yang meningkat naik.

Bintang muda Kemboja, Chan Vathanaka baru-baru ini telah memberi bayanga mengenai kemungkinan untuk dia beraksi di Liga 1 Indonesia di masa hadapan.

Bekas penyerang Boeung Ket Angkor itu menyatakan perkara itu di laman Facebook peribandinya ketika menjawab soalan semasa sesi soal jawab bersama peminat.

Penyerang berusia 23 tahun itu kini sedang beraksi secara pinjaman bersama kelab Liga J3 di Jepun, iaitu Fujieda MYFC dan telah membuat tiga penampilan sebagai pemain gantian.

Sebelum berpindah ke Jepun, nama Chan Vathanaka menjadi sebutan di seluruh negara Asia Tenggara selepas mempamerkan aksi menarik dalam saingan Piala AFF Suzuki 2016.

Aksi pemain muda ini ketika bermain menentang Malaysia telah menarik minat banyak pasukan dan salah satu darinya dikatakan adalah Selangor.

Namun, selepas pelbagai spekulasi mengenai perpindahannya, Chan memilih untuk beraksi di Jepun bersama Fujieda MYFC secara pinjaman dari Boeung Ket Angkor.

Mungkin jika semua liga di Asia Tenggara saling berkerjasama dengan meletakkan kuota pemain Asean akan dapat membantu perkembangan pasukan-pasukan Asia Tenggara.

Contohnya seperti Thailand yang akan memperkenal kuota pemain Asean untuk liga utama mereka pada tahun hadapan. Buat masa ini, kuota tersebut hanya digunapakai untuk liga divisyen 2.

Pastinya menarik jika dapat melihat Chan Vathanaka bermain di Liga Indonesia, Ezra Walian di Liga Super Malaysia atau Hazwan Bakri beraksi di Liga Thailand.