Isu Kelantan dan tidak membayar gaji bagai tidak dapat dipisahkan semenjak dua menjak ini.
Sebelum ini kita sudah mendengar keluhan bekas pemain import dan juga bekas jurulatih Kelantan, Jon Mckain dan Velizar Popov menyuarakan kekecewaan mereka dengan pasukan dari Pantai Timur itu.
Kini nampaknya pemain tempatan mereka sendiri pun sudah mula menyuarakan kekecewaan mereka disebabkan tidak menerima gaji mereka walaupun sudah mengeluarkan keringat untuk pasukan The Red Warriors.
Penyerang Kelantan, Khairul Izuan Rosli dikatakan meluahkan rasa kecewanya kerana masih tidak menerima gaji menerusi laman Instagram peribadinya.
Khairul Izuan menyiarkan gambar dengan ayat: “Di manakah sinar cahaya untuk aku kembali tersenyum, aku tidak meminta lebih, sekurang-kurangnya untuk memenuhi poketku yang sudah kering..”
Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) baru-baru ini dipotong enam mata dan dilarang mendaftarkan pemain baru apabila pintu perpindahan dibuka pada 15 Mei nanti oleh penyelia Liga Super Malaysia, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) selepas pengurusan Kelantan didapati gagal menyelesaikan hutang dan tunggakan gaji pemain mereka.
Isu ini terus menjadi panas apabila penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap FMLLP kerana merasakan hukuman tersebut tidak adil.
Dalam satu kenyataannya seperti dilaporkan oleh Utusan pada 3 Mei lalu, Tan Sri Annuar Musa menyatakan bahawa hukuman FMLLP itu adalah tidak adil dan berat sebelah.
“KAFA akan lawan, saya sudah beritahu KAFA supaya lantik peguam dan lawan. Sanna Nyasi (pemain import baru) akan tetap didaftarkan sebagai pemain baru menggantikan Alessandro Celin.
“Kalau kita boleh buktikan semua menepati peraturan namun Kelantan masih dihalang daripada mendaftar pemain baru, kita akan bawa FMLLP ke mahkamah.”
Tan Sri Annuar Musa turut menyatakan bahawa pemain import baru yang akan dibawa masuk diuruskan oleh penaja Kelantan iaitu Al-Hamra dan bukan oleh Persatuan Bolasepak Kelantan.
Isu Kelantan tidak membayar gaji ini nampaknya akan terus berpanjangan. Satu perkara yang merisaukan adalah apabila pemain terpaksa menggunakan laman sosial mereka untuk menceritakan mengenai perkara ini. Apakah sudah tiada jalan untuk mereka berbincang dengan pihak pengurusan sehingga terpaksa menggunakan media sosial? Hanya pemain Kelantan dan KAFA yang mampu menjawabnya.
Other posts by Khairul Nizam