Tidak berjaya mengatur perlawanan persahabatan menentang Argentina, pasukan kebangsaan Indonesia dijadual akan menentang pasukan Kemboja dan Puerto Rico pada bulan Jun nanti. Dua perlawanan persahabatan ini diumumkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Joko Driyono.
Indonesia akan bertandang ke tempat lawan bagi aksi melawan Kemboja di antara 5-7 Jun sementara bagi aksi menentang Puerto Rico, Indonesia akan bermain di tempat sendiri pada 13 Jun.
Perlawanan persahabatan menentang Puerto Rico dirancang untuk diadakan di Stadium Maguwoharjo di Jogjakarta. Dua perlawanan tersebut adalah sebagai persiapan pasukan bawah 22 tahun Indonesia bagi Sukan SEA di Kuala Lumpur pada bulan Ogos nanti.
Selain itu, perlawanan ini juga dirancang sebagai salah satu cara bagi menaikkan kedudukan Indonesia dalam ranking FIFA. Disebabkan itu, bagi perlawanan ini, pasukan Indonesia akan dibarisi campuran pemain bawah 22 tahun bersama beberapa pemain senior.
Ketua Umum PSSI, Edy Rahmayadi menyatakan bahawa dia yakin Indonesia mampu menang dua perlawanan tersebut.
Edy dalam satu kenyataan yang dipetik dari CNN Indonesia berkata bahawa dia tidak pernah terfikir bahawa Indonesia akan kalah dalam dua perlawanan tersebut.
“Dalam mimpi saya, pasukan kebangsaan Indonesia tidak pernah kalah. Mereka selalu menang.
“Saya beritahu kepada (jurulatih Indonesia) Milla, anda buatlah pasukan itu seperti anda (Sepanyol), dan dia sanggup. Dia pernah membawa pasukan bawah 21 tahun Sepanyol menjadi juara.”
Dalam ranking FIFA terbaru, Indonesia kini berada di kedudukan ke-177 dunia di mana Kemboja pula berada di kedudukan ke-175 dunia.
Perlawanan persahabatan terakhir Indonesia adalah menentang Myanmar di mana perlawanan tersebut merupakan debut buat Luis Milla. Indonesia tewas 3-1 kepada Myanmar dalam perlawnana yang berlangung di Stadium Pakansari di Bogor pada bulan Mac lalu.
Other posts by Khairul Nizam