Selepas Qatar, satu lagi negara Asia akan bida hak menjadi tuan rumah?
Nampaknya tidak.
Persatuan Bolasepak China (CFA) telah menafikan bahawa mereka menghantar bidaan rasmi untuk Piala Dunia, selepas satu laporan menyatakan bahawa China akan membuat bidaan untuk menjadi tuan rumah untuk sama ada Piala Dunia 2030 atau 2034 menjelang kongres FIFA minggu ini.
Menurut laporan seorang wartawan China, bidaan rasmi untuk menganjurkan Piala Dunia 2034 akan dihantar pada minggu ini kerana menurut peraturan baru FIFA, itu adalah tarikh paling awal yang boleh dipilih oleh China, tetapi ada perancangan untuk mengubah peraturan berkenaan sebagai salah satu agenda mesyuarat FIFA di Bahrain itu.
Dalam satu kenyataan oleh CFA di laman Weibo mereka, CFA telah menafikan bidaan berkenaan.
“Sekali lagi berita mengenai Piala Dunia telah muncul dan sebilangan rakan media kita terlampau terburu-buru.
“Editor (akaun Weibo berkenaan) juga berharap dapat melihat Piala Dunia di tempat sendiri secepat mungkin.
“Tetapi untuk menjelaskan keadaan, kami tidak membuat sebarang bidaan untuk menganjurkan Piala Dunia dan laporan online bahawa Persatuan Bolasepak China mahu mengesahkan bidaan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034 adalah tidak benar.”
Naib Presiden dan Setiausaha Agung CFA, Zhang Jian pada hari Isnin lalu telah dilantik menjadi salah seorang ahli jawatankuasa FIFA.
Other posts by Khairul Nizam