Football

Pengurus Persib kecewa dengan persembahan Carlton Cole

Nampaknya pengalaman bermain di Liga Perdana Inggeris juga tidak menjanjikan kejayaan.

Itulah yang dihadapi oleh bekas penyerang West Ham, Carlton Cole sejak dia berhijrah ke Indonesia dengan menyertai Persib Bandung di Liga 1 Indonesia pada awal musim ini.

Dengan pengalaman bermain di Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea dan West Ham selain pernah membuat penampilan untuk pasukan kebangsaan England, Cole diharapkan akan menjaringkan banyak gol buat Persib.

Seperti bermain dengan 10 orang

Sejak menyertai Persib pada Mac lalu, Cole masih gagal menjaringkan gol setelah lima perlawanan liga dan satu perlawanan pra musim.

Penyerang berusia 33 tahun itu berada dalam kesebelasan utama buat pertama kali dalam perlawanan menentang Persipura pada Ahad lalu tetapi dikeluarkan sebelum separuh masa kedua.

Persib menang 1-0 dalam perlawanan tersebut dengan satu gol dijaringakan oleh Michael Essien dan hasil kemenangan itu mereka kini berada di kedudukan teratas Liga 1 Indonesia.

Persembahan hambar Cole bersama Persib nampaknya sudah mula menerima rungutan pegawai tertinggi pasukan.

Pengurus pasukan Persib, Umuh Muchtar seperti dipetik Indosport berkata, dia tidak berpuas hati dengan Cole yang hanya bermain selama 105 minit untuk Persib, lebih kurang berbanding rakan sepasukannya, Michael Essien.

Umuh berkata: “Penyokong telah bertanya kenapa Cole tidak bermain, hadi kami turunkan dia hari ini untuk mereka lihat.”

Umuh turut dilaporkan berkata: “Ianya seperti bermain dengan sepuluh pemain menentang 11 pemain.”

Bergelut dengan cuaca

Cole mungkin tidak boleh dipersalah sepenuhnya, kerana dalam perlawanan menentang Persipura itu, dia dilihat kecewa kerana tidak mendapat bantuan serangan dari rakan sepasukannya.

Mungkin juga Cole masih belum menyesuaikan diri dengan bolasepak Asia dan Indonesia.

Sebelum ini ada dilaporkan bahawa jurulatih Persib, Djadjang Nurdjama bahawa Cole dan Essien masih bergelut untuk menyesuaikan diri dengan cuaca di Indonesia yang lebih panas berbanding Eropah.

Persib kini memungut 11 mata selepas lima perlawanan dan berada di tangga pertama tetapi lebih satu perlawanan dari pesaing terdekat mereka, PSM Makassar.

Nampaknya Cole perlu mula menunjukkan kehebatannya menjaringkan gol dalam perlawanan seterusnya menentang Semen Padang yang mempunyai bekas pemain Tottenham, Didier Zokora. Jika Cole terus gagal menjaringkan gol, nampaknya masa Cole di Persib menuju ke penghujungnya.

 

Other posts by