Rugby / NFL

4 pasukan rebut Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports

Empat pasukan bakal berentap dalam aksi separuh akhir Kejohanan Super Six bagi merebut Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports bermula hari ini.
 
Sekolah Sultan Alam Shah dijadualkan akan bertemu Victoria Institution hari ini manakala juara bertahan, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR) akan bertemu Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada Sabtu ini.
 
Pemenang perlawanan akhir akan ditabalkan sebagai pemenang Trofi Cabaran Pengerusi Malaysia Airports, seperti musim-musim sebelumnya.
 
Menurut Pengarah Kejohanan Super Six, Noor Helmi Nong Hadzmi, penganjuran Super Six telah berkembang saban tahun.
 
“Pada tahun ini kita lihat pengenalan liga baharu iaitu Ragbi Perdana, bagi memberikan peluang pendedahan kepada lebih banyak sekolah ragbi di seluruh negara.
 
“Tidak disangkal lagi bahawa Super Six kini merupakan antara kejohanan utama dalam memberikan pendedahan berprestasi tinggi kepada pasukan-pasukan bertanding.”
 
Kejohanan Super Six yang telah pun bermula pada 1 April lepas, akan diakhiri dengan perlawanan akhir pada 13 Mei di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak.
 
Kejohanan Ragbi Super Six menawarkan hadiah kemenangan keseluruhan sebanyak RM 13,000.
 
Selain itu, kejohanan tersebut turut menerima sokongan Kesatuan Ragbi Malaysia melalui Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NRDP) dan Malaysia Airports Holdings Berhad kekal sebagai penaja utama buat empat tahun berturut-turut.
 
Pengurus Besar, Komunikasi Korporat Malaysia Airports Holdings Berhad, Puan Nik Anis Nik Zakaria turut menyatakan sokongan padu terhadap penganjuran kejohanan tersebut.
 
“Penajaan kami terhadap Super Six bermula sejak tahun pertama penganjurannya melalui kerangka program ‘corporate social responsibility’ (CSR) dan kini kami berbangga melihat kejohanan ini terus berkembang dan menjadi salah satu kejohanan ragbi yang penting selain memberi platform terbaik dalam mencungkil bakat para pemain.”
 
Turut hadir pada sidang media Kejohanan Ragbi Super Six hari ini ialah Pengarah Pembangunan Kesatuan Ragbi Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmad Naim Ismail.

Other posts by