Memang satu perkara biasa jika pemain asing perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan negara baru.
Cuaca, budaya, makanan dan corak permainan berbeza boleh menyebabkan sesetengah pemain import sukar bermain dengan baik kerana perlu menyesuaikan diri.
Tidak kiralah pemain import biasa atau yang ternama, semua perlu menyesuaikan diri terutamanya buat pemain yang biasa bermain di Eropah dan berkelana ke Asia.
Essien, Cole sukar sesuaikan diri
Ini dialami oleh dua pemain berstatus marquee player Persib Bandung iaitu Michael Essien dan Carlton Cole.
Dua pemain berstatus marquee player Persib itu dilihat bergelut untuk menunjukkan penampilan yang memberansangkan buat Persib dengan Essien menjaringkan satu gol dalam dua penampilan sementara Cole masih belum menjaringkan gol atau berada dalam kesebelasan utama.
Menurut jurulatih Persib, Djadjang Nurdjaman, kedua pemain tersebut perlu diberikan masa untuk menyesuaikan diri.
“Mereka tidak dapat menyesuaikan diri dengan cuaca dan sukar untuk tidur,” kata Djadjang dalam satu sidang media.
“Ini memberi kesan kepada mereka ketika berlatih dan ketika perlawanan.
“Kami akan melihat semua pemain yang telah beraksi baik dan pemain mana yang tidak.
“Kami akan membuat pertukaran dan merehatkan pemain jika perlu.”
Essien, bekas pemain Real Madrid dan Chelsea hanya berada dalam kesebelasan utama satu kali ketika perlawanan pembukaan menentang Arema yang berkesudahan seri 0-0.
Baru jaringkan satu gol
Bekas ketua pasukan Ghana itu menjaringkan gol ketika masuk di separuh masa kedua dalam perlawanan menentang PS TNI yang berkesudahan seri 2-2 dan membuat penampilan dalam 11 minit terakhir menentang Sriwijaya FC.
Bekas pemain Chelsea dan West Ham, Carlton Cole pula masih belum berada dalam kesebelasan utama dan belum menjaringkan sebarang gol dalam dua penampilannya dari bangku simpanan.
Dalam perlawanan mereka semalam, Persib menewaskan Gresik United 1-0 hasil jaringan Billy Paji Keraf di masa kecederaan. Persib kini mendahului liga dengan lapan mata hasil dua kemenangan dan dua seri tetapi lebih satu perlawanan dari pesaing mereka Semen Padang, Barito Putera, PSM Makassar dan Arema FC yang memiliki tujuh mata.
Other posts by Khairul Nizam