Football

Rajevac tahu kelemahan pemain kami – FA Thailand

Nampaknya Rajevac sudah tahu kelemahan dan kekuatan Thailand.

Itu yang diperkatakan oleh Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) mengenai sebab mereka memilih bekas jurulatih Ghana itu.

Milovan Rajevac baru-baru ini diumumkan sebagai jurulatih baru Thailand selepas menandatangani kontrak setahun dengan pilihan tambahan setahun dan akan mula berkerja pada 5 Mei ini.

Memetik kenyataan FAT: “ Persatuan telah mengambil masa setahun untuk mencari jurulatih baru dari seluruh dunia yang menunjukkan minat.

“Milovan Rajevac telah dipilih selepas menilai plan dan cara kerjanya, kesediannya untuk berkerja dan semua pembantunya.”

“Kami memilihnya kerana visi dan dia biasa dengan bolasepak Asia. Kesemua pembantunya juga kelihatan lebih bagus berbanding calon lain,” kata Witthaya Laohakul seperti dilaporkan oleh Bangkok Post.

Jurulatih berusia 63 tahun itu juga dikatakan mengetahui kelemahan dan kekuatan pasukan Thailand selepas dia dan calon-calon lain pergi melihat perlawanan liga Thailand.

Witthaya menambah: “Dia tahu kelemahan pasukan kebangsaan. Dia tahu pemain kami suka menyerang tetapi tidak suka bertahan. Apabila kami kehilangan bola, pemain pertahanan kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Ini ada masalah teknikal dan kami juga melihat perkara yang sama. Dia akan mampu perbaiki kelemahan pasukan.”

“Corak permainannya bukan sahaja untuk menang tetapi juga menarik. Itu yang kami mahukan. Anda pasti terkejut dengan pemilihan pemainnya nanti. Dia memberitahu kami bahawa dia melihat ada beberapa pemain bagus yang belum pernah dipanggil ke pasukan kebangsaan.”

Rajevac menerima tawaran Thailand selepas meninggalkan pasukan kebangsaan Algeria pada tahun lalu selepas hanya dua perlawanan.

Bekas jurulatih yang membawa Ghana ke suku akhir Piala Dunia 2010 itu akan disertai pembantu-pembantunya iaitu Zoran Jankovic (pembantu jurulatih), Sasa Todic (jurulatih penjaga gol) dan Nebojsa Stamenkovic (jurulatih kecergasan).

Ketika ditanya mengenai gaji Rajevac, Witthaya berkata: “Permintaan gajinya boleh diterima. Saya rasa dia tidak terlalu memikirkan gaji. Dia mahu membuktikan kebolehannya.”

Perlawanan pertama Rajevac bersama skuad Thailand adalah perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan di Tashkent pada 6 Jun ini sebelum perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Bangkok pada 13 Jun.

Other posts by