Selepas perletakan jawatan Kiatisuk Senamuang, Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) begitu giat mencari calon jurulatih baru bagi mengendalikan skuad kebangsaan mereka.
Melihat kepada pencapaian Kiatisuk Senamuang atau terkenal dengan jolokan Zico itu, pastinya satu tugas berat menanti bakal jurulatih Thailand untuk mengulang kejayaan Zico.
Namun, calon-calon yang menunjukkan minat untuk mengendalikan skuad gajah perang itu juga bukan calang-calang. Kebanyakan dari mereka mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam pengurusan bolasepak.
FAT mungkin umum hari ini
Menurut pengarah teknikal Persatuan Bolasepak Thailand, Witthaya Laohakul, skuad kebangsaan Thailand akan dapat mengetahui siapakah jurulatih baru mereka pada hari ini.
Lapan orang calon jurulatih telah ditemui oleh Witthaya dan pembantunya. Mereka adalah Winfried Schäfer, Rene Meulensteen, Jorvan Vieira, Masahiro Shimoda, Milovan Rajevac, Dragan Talajic, Marcos Paqueta dan Alain Perrin.
Bekas jurulatih kebangsaan China, Alain Perrin telah bertemu dengan Witthaya pada hari Isnin.
Menurut laporan Bangkok Post, Perrin menyatakan bahawa pertemuan itu berlangsung baik.
Selepas tamat pertemuan dengan semua calon jurulatih, Witthaya menyatakan bahawa terdapat tiga orang jurulatih yang berada dalam senarai akhir.
“Mereka semua pernah melatih pasukan kebangsaan di Piala Dunia dan bukan orang Asia.
“Semuanya akan selesai dalam masa satu hingga dua hari.
“Jurulatih baru itu perlu mampu mengangkat tahap pasukan kebangsaan dan mempunyai sistem permainan yang jelas,” tambah Witthaya.
Tiga calon akhir
Dikhabarkan bahawa tiga calon akhir tersebut adalah jurulatih berasal dari Serbia Milovan Rajevac dan dua jurulatih berasal dari Brazil, Marcos Paqueta dan Jorvan Viera.
Rajevac yang berusia 63 tahun dikatakan calon paling berpotensi untuk menjadi jurulatih baru Thailand selepas berjaya membawa Ghana ke suku akhir Piala Dunia 2010. Dia juga pernah melatih skuad kebangsaan Qatar dan Algeria.
Jurulatih baru dijangka akan menandatangani kontrak satu tahun selepas persembahannya dinilai. FAT mahu jurulatih baru itu mula berkerja pada 1 Mei sebagai persiapan skuad kebangsaan untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia di laman sendiri menentang Emiriah Arab Bersatu pada 13 Jun.
Bila pula giliran Malaysia untuk umum jurulatih baru?
Other posts by Khairul Nizam