Football

Pemain berusia 15 tahun pecahkan rekod J-League

Nampaknya bakat baru mula memecah masuk ke liga profesional di usia yang muda.

Di Serie A kita ada Gianluigi Donnarumma yang membuat penampilan untuk AC Milan pada usia 16 tahun dan terus dinobatkan sebagai bakal penjaga gol nombor 1 Itali.

Jika sebelum ini di Jepun ada pemain dan penjaring gol tertua di dunia, Kazuyoshi Miura, kini nampaknya J league telah memecahkan rekod mereka sendiri dengan penjaring termuda dalam liga Jepun.

Kubo pecah rekod

Pemain muda Jepun, Takefusa Kubo menjadi pemain paling muda yang menjaringkan gol dalam perlawanan J-League.

Kubo yang menjaringkan gol dalam perlawanan pada hari Sabtu lalu telah memecahkan rekod yang dicipta oleh bekas pemain kebangsaan Jepun, Takayuki Morimoto.

Jaringan berkenaan yang tercipta pada minit ke-38 dalam perlawanan Liga J3 di Stadium Yanmar Nagai di antara pasukan Bawah 23 tahun Cerezo Osaka menentang pasukan bawah 23 tahun FC Tokyo.

Pernah sertai akademi Barcelona

Kubo yang sebelum ini pernah menyertai akademi Barcelona, menggelecek ke dalam kotak penalti sebelum merembat masuk bola dengan kaki kirinya untuk memecahkan rekod tersebut.

Pada usia 15 tahun, 10 bulan dan 11 hari, pemain muda berkenaan memecahkan rekod Morimoto yang menjaringkan gol pertamanya dulu untuk Tokyo Verdy pada tahun 2004 dengan usia kurang satu bulan dan 17 hari.

Buat masa ini, Kubo yang didaftarkan bersama skuad bawah 18 tahun FC Tokyo, membuat penampilan pertamanya dalam J3 pada November 2016 ketika menentang AC Nagano Parceiro. Baru-baru ini dia menyertai skuad bawah 20 tahun Jepun ke kem latihan di Jerman, di mana dia menunjukkan aksi memberansangkan untuk memberikannya peluang cerah menyertai skuad ke Piala Dunia FIFA bawah 20 tahun.

Digelar “Messi Jepun” oleh media tempatan, Kubo telah diperkatakan sebagai bintang yang bakal menyinar buat pasukan tuan rumah di Sukan Olimpik 2020. Dia adalah di antara pemain yang dipaksa meninggalkan Barcelona selepas gergasi Eropah itu digantung ekoran melanggar peraturan perpindahan antarabangsa oleh FIFA.

Other posts by