Football

Bekas pemain Liverpool bakal sertai Mitra Kukar

Mengikut jejak langkah Persib Bandung dan Madura United, satu lagi kelab dari Liga 1 Indonesia, Mitra Kukar, mengumumkan bahawa mereka akan mendapatkan pemain berstatus ‘marquee player’.

Juara tiga kali Liga Indonesia, Mitra Kukar, telah mengumumkan bahawa mereka bersedia untuk menandatangani bekas pemain Mali, Liverpool, PSG dan Valencia, Mohamed Sissoko dengan kontrak setahun.

Pemain berusia 32 tahun itu sebelum ini pernah beraksi di China dan India dan dijangka akan menyertai pasukan yang berpengkalan di Kalimantan Timur itu setelah melepasi ujian kesihatan.

Sissoko dijangka akan beraksi dalam perlawanan kedua Mitra Kukar, menentang PSM di tempat sendiri pada hujung minggu ini.

Bekas pemain tengah Liverpool itu menjadi pemain keempat yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris menyertai Liga 1 Indonesia selepas Peter Odemwingie, Michael Essien dan Carlton Cole.

Kelab ketiga dalam enam bulan

Mitra yang terkenal dengan jolokan Si Naga Mekes akan menjadi kelab ketiga Sissoko dalam kurang dari enam bulan selepas dia meninggalkan kelab India Pune City pada bulan Disember dan kemudian kontraknya ditamatkan bersama kelab Itali, Ternana, selepas tiga minggu ekoran sikap negatif.

Sissoko beraksi sebanyak 87 kali bersama Liverpool di antara 2005-2008 dan memainkan peranan penting ketika pasukan The Reds itu menjulang trofi Piala FA pada tahun 2006.

Dia kemudiannya menyertai Juventus pada tahun 2008 dan kemudiannya menyertai Paris Saint-Germain (PSG) pada tahun 2011 dan memenangi Liga pada tahun 2013.

Sissoko kemudian menyertai revolusi China bersama Shanghai Shenhua pada tahun 2015 untuk seketika dan selepas itu menghadiri sesi ujian bersama West Brom pada tahun 2016 tetapi gagal mengikat sebarang kontrak bersama The Baggies.

Pemain tengah itu menyertai kelab India, Pune City pada tahun lalu dan hanya membuat 13 penampilan. Mitra akan menjadi kelab profesional kesebelas Sissoko selepas memenangi Liga Sepanyol, Piala UEFA dan UEFA Super Cup pada tahun 2004 bersama Valencia.

Sissoko membuat 34 penampilan untuk Mali dan menjaringkan dua gol serta beraksi di Piala Negara-Negara Afrika pada tahun 2004, 2008, 2010 dan 2013.

 

Other posts by