Football

Andik Vermansyah berharap dapat beraksi menentang Argentina

Perlawanan persahabatan di antara Indonesia menentang Argentina disambut baik oleh pemain sayap Selangor, Andik Vermansyah. Pemain berusia 25 tahun itu juga berharap dapat dipilih untuk menyarung jersi merah putih Indonesia bagi perlawanan tersebut.

Perlawan tersebut yang dirancang oleh Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) akan diadakan pada bulan Jun nanti. Semuanya hasil perbincangan rapat di antara PSSI dengan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

Perlawanan persahabatan itu dikemukakan oleh PSSI kepada AFA kerana kebetulan pada tarikh tersebut Argentina akan bertandang ke Australia untuk perlawanan persahabatan.

Andik teruja bertemu Argentina

Perlawanan persahabatan itu pastinya menarik tumpuan bekas pemain Persebaya Surabaya itu kerana dia bakal beraksi menentang pasukan naib johan Piala Dunia 2014 yang dibarisi pemain bintang dunia seperti Lionel Messi, Angel Di Maria dan ramai lagi.

“Perlawanan ini bagus untuk Indonesia. Saya sangat teruja dengan perlawanan ini. Pasukan kebangsaan sudah mula melawan pasukan-pasukan hebat yang beraksi di Piala Dunia,” kata Andik kepada Bola.net pada hari Sabtu lalu.

Pastinya Andik tidak mahu melepaskan peluang ini dan berharap dia akan dipanggil oleh jurulatih Indonesia, Luis Milla untuk beraksi dalam perlawanan persahabatan itu.

“Saya akan bersedia jika dipanggil. Semuanya di tangan jurulatih,” kata Andik.

Andik mungkin kekal di Selangor

Dalam perkembangan lain, Andik dikhabarkan tidak akan menyertai Persebaya Surabaya bagi aksi Liga 2 musim ini.

Buat masa ini, pihak pengurusan Persebaya sedang berusaha semaksimum mungkin untuk membawa Andik masuk bagi separuh kedua musim untuk Liga 2 nanti.

Perkembangan terbaru menyaksikan pengurusan Persebaya menyatakan bahawa Andik tidak akan dapat menyertai mereka musim ini.

Ini kerana Andik masih mempunyai kontrak bersama Selangor sehingga bulan Oktober ini.

Menurut pengarah pasukan Persebaya, Candra Wahyudi seperti dilaporkan suryamalang tribunnews : “ Musim ini tidak mungkin untuk membawa Andik pulang ke Persebaya.

“Liga 2 akan berakhir pada November nanti. Tetapi kontrak Andik bersama pasukannya (Selangor) hanya akan berakhir pada bulan Oktober.”

Candra juga mengakui bahawa mereka sudah berbincang dengan Andik mengenai hasrat mereka untuk membawanya pulang ke Persebaya. Mereka yakin bahawa Andik akan pulang untuk bersama pasukan yang dikenali sebagai Bajul Ijo itu.

Ditambah pula, Persebaya meletakkan sasaran untuk layak ke Liga 1 pada musim hadapan. Jika mereka berjaya mencapai sasaran tersebut, pastinya Andik akan bermain untuk Persebaya.

“Kami sempat berbincang dengan Andik. Perbincangan yang kami lakukan setakat ini berjalan baik dan dia juga berasal dari Surabaya. Kita lihat saja nanti,” tambah Candra lagi.

Other posts by