Football

Argentina FA pecat Bauza, mahu Sampaoli ganti

Tidak sampai setahun, nampaknya Argentina perlu mula mencari jurulatih baru lagi.

Juara dua kali Piala Dunia, Argentina telah memecat jurulatih mereka Edgardo Bauza pada hari Isnin ekoran prestasi buruk yang dipamer oleh skuad kebangsaan mereka di pusingan kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan.

AFA mahu Sampaoli

Laporan media Argentina menyatakan bahawa jurulatih Sevilla yang berasal dari Argentina, Jorge Sampaoli bakal mengambil alih tugas sebagai jurulatih skuad Argentina.

“Kami telah mencapai kata putus, kami telah memberitahu Bauza bahawa dia telah dilucutkan dari jawatan jurulatih pasukan kebangsaan,” kata presiden baru Persatuan Bolasepak Argentina Claudio Tapia kepada wartawan selepas mesyuarat persatuan tersebut di Buenos Aires.

Argentina kini berada di tangga kelima bagi pusingan kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan dengan baki empat perlawanan. Mereka juga bakal kehilangan ketua pasukan, Lionel Messi sebanyak empat perlawanan selepas dia didapati bersalah menghina pegawai perlawanan.

Empat pasukan teratas akan layak secara automatik ke Piala Dunia 2018 , sementara pasukan di tangga kelima perlu bermain perlawanan play-off menentang pasukan dari Oceania.

Bauza yang mengendalikan pasukan dalam lapan perlawanan di peringkat kelayakan itu mencatat rekod tiga kemenangan, dua seri dan tiga kekalahan.

Jika AFA berjaya membawa masuk Sampaoli dari Sevilla pada hujung musim, dia mempunyai masa sehingga 31 Ogos untuk mempersiap skuad Argentina bagi beraksi di perlawanan kelayakan seterusnya, menentang Uruguay di Montevideo.

Sampaoli meletakkan jawatan sebagai jurulatih Chile selepas menjulang trofi Copa America 2015 dan baru sahaja mengambil tugas sebagai jurulatih Sevilla ketika jurulatih Argentina ketika itu, Gerardo Martino meletakkan jawatan.

Namun, AFA perlu membayar wang bagi menebus kontrak Sampaoli dari Sevilla.

AFA mahu berbincang dengan Simeone

AFA juga dikatakan berminat untuk berbincang dengan jurulatih Atletico Madrid, Diego Simeone, tetapi tidak menjangka dia akan berminat untuk mengambil alih tugasan selaku jurulatih kebangsaan.

Menurut laporan Mundo Deportivo, delegasi dari Argentina FA akan ke Sepanyol dalam tempoh beberapa hari untuk berbincang dengan kedua-dua jurulatih berkenaan.

Tapia telah mengumumkan bahawa satu sidang media akan diadakan pada hari Selasa untuk memberi butiran berkenaan pemecatan Bauza dan calon penggantinya.

AFA mengambil keputusan untuk memecat Bauza selepas Argentina hanya mampu menewaskan Chile 1-0 menerusi sepakan penalti Messi dan selepas itu tewas 2-0 kepada Bolivia di La Paz bulan lalu.

Bauza dilantik pada Julai lalu oleh presiden lama AFA, Armando Perez. Ketika itu, Messi mengumumkan persaraannya dari bolasepak antarabangsa selepas Argentina tewas buat kali kedua berturut dalam perlawanan akhir Copa America kepada Chile di Amerika Syarikat.

Bauza berjaya memujuk Messi untuk kembali bersama pasukan pada 1 Ogos dan ketua pasukan Argentina itu berjaya mengumumkan kepulangannya bersama skuad kebangsaan dengan menjaringkan gol tunggal perlawana dalam kemenangan 1-0 Argentina ke atas Uruguay pada 1 Sepetember.

Namun, pasukan kendalian Bauza ketika itu menunjukkan prestasi yang kurang memberangsangkan, dengan mencatatkan dua keputusan seri di Venezuela dan Peru, serta kekalahan kepada Paraguay dan Brazil. Hanya satu kemenangan dicatat di antara September dan November iaitu ke atas Colombia. Messi terlepas perlawanan menentang Brazil dan Colombia akibat kecederaan.

Other posts by