Dalam penganjuran mana-mana liga, wang tajaan akan memastikan kelancaran liga tersebut. Biarpun ia hanya liga sosial atau liga profesional, tajaan dan sumbangan sangat penting.
Kebiasaannya bagi liga profesional, tajaan dari syarikat-syarikat besar sangat diperlukan kerana kos untuk menganjurkan liga profesional terutamanya liga peringkat tertinggi bagi sesuatu negara. Kebiasaannya, kos bagi menganjur dan mengurus liga boleh mencecah jutaan ringgit.
Jika badan pentadbir bijak mencari tajaan, pasti hasilnya lumayan dan tiada masalah untuk mencari syarikat yang mahu menaja.
PSSI umum dua penaja utama
Ketua Umum Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Edy Rahmayadi mengumumkan tajaan dana dari dua penaja utama Liga 1 Indonesia, Go-Jek dan Traveloka. Dua syarikat yang berasaskan aplikasi itu memberi tajaan berjumlah Rp 180 miliar ( RM 60,142,399).
Go-Jek dan Traveloka secara rasmi diperkenalkan sebagai dua penaja utama Liga 1 di Hotel Fairmont, Jakarta pada hari Isnin.
Acara perasmian ini disertai oleh exco tertinggi PSSI, PT Liga Indonesia Baru (LIB) dan wakil dari Go-Jek dan Traveloka. Turut hadir adalah wakil dari tvOne, selaku penyiar rasmi Liga 1musim 2017 dan pemain-pemain yang mewakili 18 kelab yang akan bertanding.
Menurut Edy, nama Go-Jek dan Traveloka akan diletakkan dalam nama rasmi liga ekoran tajaan tersebut.
Kerjasama Liga 1 sesuai dengan visi Go-Jek
Menurut ketua pegawai pemasaran Go-Jek Indonesai, Piotr Jakubowski, kerjasama ini terjalin kerana mereka merasakan visi Liga 1 sesuai dengan visi yang dimiliki oleh Go-Jek.
“Satu peluang hebat untuk kami berkerjasma dengan PT LIB. Pertandingan ini akan membolehkan rakyat meluaskan lagi peluang pendapatan mereka dan itu sesuai dengan visi kami,” kata Piotr seperti dilaporkan oleh laman web Juara.net.
Berkongsi pendapat yang sama dengan Piotr adalah ketua bahagian pemasaran Traveloka, Dannis Muhammad yang menyambut baik kerjasama ini.
“Dalam pertandingan ini, kami sedar akan potensi tingginya. Kami bersedia membantu PT LIB dan ingin menjadi sebahagian daripada kebangkitan bolasepak Indonesia.”
Liga 1 Indonesia akan bermula pada Sabtu ini. Perlawanan pembuka tirai Liga 1 adalah di antara Persib Bandung yang memiliki Michael Essien dan Carlton Cole menentang Arema FC di Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA).
Other posts by Khairul Nizam