Football

U.S, Kanada & Mexico hantar bidaan untuk jadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026

Selepas Jepun dan Korea pada tahun 2002, masih belum ada lagi negara yang membida untuk menjadi tuan rumah bersama.

Sebelum ini, negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia bercita-cita untuk membida menjadi tuan rumah bersama untuk Piala Dunia, tetapi nampaknya sekadar omong kosong setakat ini.

Kini, tiga negara dari Amerika Utara telah membida untuk menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2026.

US, Kanada, Mexico bida hak

Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada telah mengumumkan hasrat mereka untuk membida hak menjadi tuan rumah bersama bagi menganjurkan Piala Dunia 2026 pada hari Isnin.

Menurut ketua bolasepak Amerika Syarikat, Sunil Gulati, bidaan tersebut mendapat sokongan Presiden Donald Trump dan mensasarkan menjadi piala dunia pertama dianjurkan tiga negara selepas kejayaan Korea dan Jepun menganjurkan Piala Dunia 2002 yang lalu.

Dengan Piala Dunia 2026 bakal disertai 48 negara berbanding 32 negara seperti format asal, dan menambah jumlah perlawanan kepada 80 berbanding 64, bidaan bersama mempunyai peluang cerah untuk dipilih.

Namun, bidaan ini sebenarnya mungkin agak berat sebelah kepada Amerika Syarikat dengan 60 perlawanan termasuk perlawanan akhir akan diadakan di sana dengan baki 20 perlawanan lagi akan diadakan di Mexico dan Kanada.

FIFA umum Mei 2020

FIFA dijangka akan mengumumkan keputusan untuk menganjurkan Piala Dunia 2026 pada sidang kongres mereka pada 11 Mei di Bahrain. Sebelum ini, badan pentadbir bolasepak dunia itu pernah berkata bahawa negara dari Eropah dan Asia akan dihalang daripada membida kerana Russia menjadi tuan rumah Piala Dunia 2018 dan Qatar menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Semua bidaan perlu dihantar ke FIFA sebelum Disember 2018. Bidaan tersebut akan dinilai dalam tempoh 15 bulan dan tuan rumah akan dipilih pada Mei 2020, sebelum pemilihan Presiden Amerika Syarikat.

Amerika Syarikat pernah menganjurkan Piala Dunia pada tahun 1994 sementara Mexico pula bakal menjadi tuan rumah Piala Dunia sebanyak tiga kali jika bidaan ini diterima. Bagi Kanada pula, mereka hanya pernah menjadi tuan rumah buat Piala Dunia Wanita pada tahun 2015.

Piala Dunia 1994 yang dianjurkan Amerika Syarikat menjadi Piala Dunia dengan purata kehadiran tertinggi penonton bagi Piala Dunia dengan Piala Dunia 1970 di Mexico turut berada di tempat keempat.

Presiden FAM, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali sebagai TMJ pernah berkata bahawa Malaysia mensasarkan untuk menyertai Piala Dunia 2026. Mungkin penyokong Malaysia sudah boleh menyimpan wang untuk ke Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.

Other posts by