Football

Stefano Lilipaly teruja mahu beraksi menentang Argentina

Pastinya satu pemandangan yang menarik melihat pemain kebangsaan Indonesia beradu tenaga menentang antara pasukan terkuat dunia yang dibarisi pemain terbaik dunia.

Lionel Messi, Angel Di Maria, Gonzalo Higuain dan ramai lagi akan turun ke Indonesia bagi perlawanan persahabatan menentang skuad garuda pada 13 Jun nanti.

Perlawanan ini bukan sahaja dinanti oleh penyokong Indonesia, tetapi juga pemain-pemain mereka. Pastinya mereka berharap akan dipilih menyertai pasukan supaya dapat berdepan dengan idola mereka.

Lilipaly teruja

Antaranya adalah pemain Indonesia yang beraksi bersama SC Cambuur di Belanda, Stefano Lilipaly.

Lilipaly menyuarakan keterujaannya untuk bertemu Argentina terutamanya bintang Barcelona Lionel Messi yang sudah memenangi anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali.

“Saya tidak tahu jika Messi akan turut bermain dalam perlawanan tersebut. Tapi pastinya satu berita baik jika dia akan dapat hadir,” kata Lilipaly dalam temuramahnya bersama Voetbal International mengenai kegilaan bolasepak di Indonesia.

Pemain berusia 27 tahun itu juga turut memberitahu apa yang akan dilakukannya jika bertemu ketua pasukan Argentina itu. Menurut Lilipaly, dia teruja dan mahu meminta bertukar jersi dengan Lionel Messi.

“Saya mahu bertukar jersi dengannya. Ini kerana Messi adalah salah seorang dari pemain terbaik dunia, jika bukan yang terbaik,” ujar Lilipaly.

“Pastinya menjadi satu penghormatan jika dapat bermain menentang Messi. Tetapi, saya juga berminat untuk bertukar jersi dengan Angel Di Maria.”

Belum tentu dipanggil

Namun, apa yang mungkin akan mengganggu impian Lilipaly itu adalah perlawanan tersebut akan menjadi gelanggang untuk mempersiap skuad bawah 22 tahun Indonesia menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur.

Jurulatih Indonesia, Luis Milla dikhabarkan akan menggunakan majoriti pemain bawah 22 tahun untuk perlawanan menentang Argentina itu.

“Kami akan memeriksa jika kami dibenarkan menggunakan pemain bawah 22 tahun yang dicampur dengan pemain senior untuk menentang Argentina nanti,” kata Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) Fanny Riawan seperti dilaporkan Kompas.com.

Selain itu, Messi juga belum tentu akan dapat bermain menentang Indonesia nanti ekoran penggantungan lima perlawanan selepas didapati menghina pembantu pengadil dalam perlawanan menentang Chile di perlawanan kelayakan Piala Dunia zon Amerik Selatan pada 24 Mac yang lalu.

Argentina akan mengadakan perlawanan menentang Brazil pada 9 Jun dan Singapura pada 13 Jun sebelum menutup tirai menentang Indonesia.

 

 

Other posts by