Football

Pusamania Borneo mahu dapatkan bekas penyerang Kedah

Liga Indonesia musim baru ini akan menampilkan pemain marquee player seperti Michael Essien, Carlton Cole dan Peter Odemwingie yang menyertai Persib Bandung dan Madura United. Tidak mahu ketinggalan, kelab lain juga sedang giat mencari marquee player mereka sendiri.

Antaranya adalah Pusamania Borneo FC yang sedang mencuba untuk mendapatkan bekas penyerang Kedah dan juga bekas penyerang kebangsaan New Zealand yang pernah menjaringkan gol di Piala Dunia 2010.

Pusamania sasar Smeltz

Pusamania atau lebih dikenali sebagai Borneo FC buat masa ini dikaitkan dengan bekas penyerang New Zealand, Shane Smeltz yang menyarung jersi Kedah pada musim lalu.

Pengurus Borneo FC, Farid Abubakar berkata mereka sedang mencari seorang penyerang prolific bagi mengisi kuota ‘marquee player’ mereka.

“Kami telah menerima tawaran dari ramai ejen, daripada penjaga gol ke pemain tengah. Namun, selepas melihat keperluan pasukan, kami ingin mendapatkan seorang penyerang,” kata Farid.

Setakat ini Borneo FC telah mendapatkan Lerby Eliandry, Patrich Wanggai, Febri Setiadi dan seorang penyerang muda, Fernando Gomes, untuk bermain di bahagian serangan. Farid menyatakan bahawa mereka mahukan seorang penyerang berpengalaman untuk membantu pasukan.

Sebelum dikaitkan dengan Smeltz, kelab yang berpengkalan di Borneo itu dikaitkan dengan bekas penyerang Shaktar Donestsk dan Marseille, Evaeverson Lemos Da Silva atau lebih dikenali sebagai Brandao.

Smeltz yang berusia 35 tahun dan dilahirkan di Jerman dikenali menerusi jaringannya untuk New Zealand ketika menentang Itali di Piala Dunia 2010, yang menjadi jaringan pertama New Zealand di pentas kejohanan tertinggi antarabangsa.

Presiden beri kelulusan dapatkan marquee player

Namun, Farid telah menolak untuk memberikan sebarang ulasan berkenaan perkara tersebut dan hanya menyatakan bahawa semuanya boleh berlaku sebelum tarikh akhir jendela perpindahan pertama yang akan tamat pada hujung April.

“Kami mungkin mendapatkan penyerang dari Eropah atau mana-mana pelusuk dunia. Saya tidak boleh mendedahkannya lagi,” kata Farid yang berjanji akan memberikan lebih banyak maklumat pada minggu hadapan, sebelum liga bermula.

Memberi kenyataan berasingan, Presiden kelab, Nabil Husein Said Amin berkata bahawa dia telah memberikan kelulusan untuk mendapatkan seorang pemain berstatus ‘Marquee Player’ dalam cubaan mereka untuk menduduki tiga tempat teratas dan beraksi di kejohanan peringkat Asia musim hadapan.

Namun, Nabil masih berahsia mengenai pemain yang bakal dibawa masuk itu. “ Tunggu sahaja. Minggu depan dia akan tiba di Samarinda,” katanya.

Other posts by