Football

PSSI akan bincang dengan Luis Milla berkenaan kem latihan di Sepanyol

Ketua Jabatan Pasukan Kebangsaan Indonesia, Gede Widiade, mengakui bahawa Persekutuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) akan berbincang dengan Luis Milla berkenaan rancangan untuk mengadakan latihan pusat pasukan bawah 22 tahun Indonesia di Sepanyol.

Berlatih di Sepanyol untuk ISG

Perancangan awalnya adalah Evan Dimas dan rakan-rakan sepasukannya akan mengikuti latihan di Sepanyol bermula 15 April ini. Mereka dirancang akan berada di Sepanyol untuk sesi latihan pusat sehingga berlangsungnya Sukan Solidariti Islam (ISG) di Baku, Azerbaijan pada 8-22 Mei depan.

Namun, perancangan ini dikatakan akan berubah ekoran pasukan Bawah 22 tahun Indonesia tidak berdaftar untuk menyertai acara bolasepak bagi Sukan Solidariti Islam.

“Jadual akan kita sesuaikan. Nanti kami akan berbincang dengan Luis Milla. Saya hanya memerhatikan dan bersetuju, jika ianya sesuai dengan program dan sasaran yang kita berikan,” kata gede kepada wartawan di Stadium Patriot, Kota Bekasi pada hari Rabu seperti dipetik dari Kompas.com.

Indonesia tidak berdaftar untuk ISG

Berkenaan isu penampilan pasukan bawah 22 tahun Indonesia di ISG, Gede mengakui akan berjumpa dan berbincang dengan Majlis Olimpik Indonesia (KOI). Menurut Gede, PSSI hanya bertugas untuk menyediakan pasukan.

“Yang menguruskan semua urusan surat-menyurat di luar Republik Indonesia adalah tugas KOI. Kalau dalam negeri, KONI. Oleh sebab itu, saya akan menunggu kepastian dari KOI. Kerana pasukan sudah siap, dan sekarang (semalam) akan menentang Persija,” kata Gede.

Pengarah Sukan ISG 2017, Mark Honeybunn sebelum ini telah menyatakan bahawa pasukan bawah 22 tahun Indonesia tidak berada dalam pendaftaran bagi acara bolasepak.

Di Sukan Solidariti Islam nanti, hanya lapan pasukan akan beraksi dalam acara bolasepak iaitu Azerbaijan, Turki, Arab Saudi, Cameroon, Maghribi, Oman, Palestin dan Algeria.

Jika permohonan Indonesia untuk beraksi di ISG tidak tercapai, nampaknya Luis Milla akan mempunyai masa lebih panjang untuk mempersiap pasukan bagi menyertai Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos nanti.

Namun, kekurangan perlawanan mungkin akan memberi kesan dari segi kekurangan pendedahan kepada pemain dan kesukaran untuk memberikan pengalaman menentang pasukan kebangsaan negara lain. Sekadar beraksi menentang kelab tempatan tidak akan banyak membantu pasukan bawah 22 tahun Indonesia.

Other posts by