Football

Kiatisuk bidas FA Thailand

Nampaknya saga ini belum berakhir.

Bekas jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang telah membidas Presiden Persatuan Bolasepak Thailand (FAT) Somyot Poompanmoung dalam wawancara pertamanya selepas meletak jawatan selaku jurulatih Thailand pada minggu lalu.

Kiatisuk yang terkenal dengan jolokan Zico meletak jawatan ekoran prestasi hambar pasukan Thailand di Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018 peringkat Asia yang menyaksikan pasukan Gajah Perang itu tewas berturut kepada Arab Saudi dan Jepun.

Kiatisuk bidas Somyot

Sebelum ini, Somyot menyatakan bahawa dia malu dengan keputusan skuad Thailand dalam pusingan kelayakan tersebut. Membidas kenyataan Somyot itu di Bangkok Post, Kiatisuk berkata: “Kami tewas perlawanan tetapi menang sokongan penyokong. Presiden FAT dan jawatankuasa eksekutif yang telah membuat penilaian ke atas saya.

“Saya seorang pemain kebangsaan untuk 15 tahun dan menjadi jurulatih pasukan kebangsaan selama lima tahun, maka jumlahnya adalah 20 tahun, dan saya tidak pernah terfikir untuk berhenti. Tetapi saya tidak boleh terima (kritikan) ini dan saya rasa saya membuat keputusan yang tepat.

Komen Kiatisuk itu menunjukkan hubingan tegang di antaranya dan Somyot yang memegang jawatan Presiden FAT pada tahun 2016. Dia turut membandingkan presiden baru itu dengan bekas ketua FAT, Worawi Makudi, dengan menekankan mengenai peranan Worawi dalam pembangunan pemain muda, termasuk melantik Kiatisuk menjadi jurulatih bawah 23 tahun pada tahun 2013.

Thailand berjaya di bawah kendalian Zico

Kiatisuk sememangnya seorang legenda di Thailand. Sejak memegang jawatan selaku jurulatih Thailand, dia telah membawa Thailand mengecap kejayaan termasuk layak ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2018.

Bahkan, Thailand di bawah kendalian Kiatisuk turut berjaya menduduki tempat keempat di Sukan Asia 2014. Kiatisuk juga berjaya menjulang Piala AFF Suzuki berturut-turut apabila menang pada tahun 2014 dan 2016.

Satu kerugian buat Thailand kerana tidak menghargai jasa dan kehebatan Kiatisuk Senamuang dalam melatih dan membentuk skuad yang mantap untuk Thailand.

Dia berjaya menukar nasib Thailand dan menjadikan mereka pasukan terhebat di Asia Tenggara serta mampu bersaing bersama gergasi Asia. Pastinya Kiatisuk akan menjadi rebutan bukan sekadar buat kelab di Thailand dan Asean, tetapi juga kelab-kelab di Asia.

 

Other posts by