Michael Essien, Carlton Cole, dan kini Raphael Maitimo.
Walaupun namanya tidak segah dua bekas bintang Liga Perdana Inggeris itu, tetapi kehadiran pemain naturalisasi Indonesia, Raphael Maitimo tetap menjadi perhatian penyokong Persib ketika majlis pengenalan pemain yang berlangsung pada malam semalam.
Diperkenal secara rasmi
Raphael Maitimo diperkenal secara rasmi sebagai pemain baru Persib dalam satu majlis memperkenal pemain Persib untuk Liga 1 2017 di Stadium Siliwangi, Bandung, malam semalam.
Pemain berusia 33 tahun sebelum ini sudah berulang kali dikhabarkan akan bergabung dengan Persib. Walaupun diakui sukar oleh Maitimo sendiri, dia turut menyatakan bahawa perbincangan telah dilakukan sejak dia bermain bersama Arema FC.
“Untuk menyertai Persib memang sukar. Saya sudah beberapa kali cuba berbincang sejak di Arema. Tetapi saya masih terikat (kontrak). Tahun ini baru saya dapat menyertai mereka,” kata Maitimo kepada Kompas.com.
Pemain kelahiran Rotterdam itu adalah salah seorang di antara pemain berdarah campuran Indonesia. Dia akan beraksi bersama seorang lagi pemain berdarah campuran di Persib, Sergio Van Dijk.
Terkejut dengan sambutan bobotoh
Bekas pemain Mitra Kukar itu mengakui terkejut dengan sambutan yang diberikan oleh penyokong Persib yang terkenal dengan panggilan bobotoh ketika majlis tersebut dan berharap dapat memberikan aksi terbaik untuk mereka.
“Ini pertama kali saya bertemu Bobotoh. Terima kasih kepada semua penyokong yang hadir (malam semalam). Memang luar biasa.
“Saya boleh membantu Persib untuk berjaya musim ini. Mudah-mudahan saya akan dapat membantu dengan lebih banyak untuk pasukan ini,” kata Maitimo lagi.
Maitimo pembelian terakhir
Raphael Maitimo bakal menjadi pembelian terakhir Persib sebelum Liga 1 bermula.
Jurulatih Persib, Djadjang Nurdjaman menyatakan bahawa selepas menilai pasukan yang dikenali sebagai Maung Bandung itu, dia telah memutuskan bahawa Maitimo akan menjadi pemain terakhir menyertai mereka.
Bercakap kepada CNN Indonesia, dia berkata: “Saya rasa kami tidak akan mendapatkan mana-mana pemain selepas ini. Dengan kehadiran Maitimo, skuad Persib sudah bersedia berdepan kejohanan liga.
Djadjang berkata Maitimo adalah pemain yang dikehendaki Persib walaupun mereka sudah mempunyai ramai pemain di bahagian tengah seperti Kim Jeffrey Kurniawan, Hariono dan Michael Essien.
Other posts by Khairul Nizam