Kebiasaannya dalam perlawanan bolasepak, penggantian pemain hanya boleh dilakukan sebanyak tiga kali. Jika sudah melakukan tiga pertukaran, tiada pertukaran lain dibenarkan.
Baru-baru ini FIFA memperkenal pertukaran keempat pemain. Namun, pertukaran tersebut hanya boleh dilakukan jika perlawanan diheret sehingga ke masa tambahan.
Tidak bagi Liga Indonesia. Nampaknya empat pertukaran tidak cukup untuk mereka.
PSSI mahu lima pertukaran
Baru-baru ini diumumkan bahawa Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Edy Rahmadi telah berkomunikasi dengan FIFA dan AFC mengenai cadangan baru untuk Liga 1 2017 di mana setiap pasukan boleh melakukan lima pertukaran.
Edy yakin bahawa syarat tersebut tidak melawan peraturan FIFA dan tidak akan membuatkan Indonesia sekali lagi berdepan penggantungan dari FIFA. Dia turut menyatakan perubahan tersebut dilakukan dengan tujuan membentuk pemain.
Menurut Edy kepada wartawan seperti yang dilaporkan oleh bola.com: “Sudah diberitahu kepada AFC. Tidak akan digantung. Hanya akan digantung kalau kita membuat kekecohan.”
Dia turut menyatakan bahawa Indonesia masih kekurangan pemain dari segi kuantiti dan juga kualiti. Dengan mempunyai had umur pemain di peringkat pertandingan diharap akan menjadi jawapan kepada bolasepak Indonesia yang dilihat kurang pemain berbakat.
Menurut Edy, perkara tersebut akan dapat diatasi menerusi cadangan baru sistem pertukaran pemain di padang.
Liga 2 kekal tiga pertukaran
Namun, sistem pertukaran pemain baru itu tidak akan digunapakai bagi Liga 2. Liga divisyen dua Indonesia itu akan mengekalkan sistem pertukaran pemain yang sama dengan FIFA, iaitu hanya tiga pertukaran dibenarkan.
“Liga 2 berbeza dengan Liga 1 kerana di Liga 1 ada pemain senior yang perlu bermain dan ada tiga pemain bawah 23 tahun yang perlu berada di atas padang. Disebabkan itu perlunya lima pertukaran,” jelas Edy.
Dalam satu jawapan yang berlainan nada, CEO PT Liga Indonesia Baru (LIB) Risha Adi Wijaya enggan memberi sebarang ulasan mengenai keizinan FIFA untuk menggunakan peraturan pertukaran lima pemain.
“Jika dia (Ketua Umum Edy Rahmayadi) kata sudah diberitahu kepada FIFA, maknanya sudah.”
Nampaknya Indonesia berani menjadi lain dari yang lain kerana mahu menyelesaikan masalah bolasepak mereka. Mungkinkan kita akan melihat Piala Dunia 2026 yang berlangsung dengan peraturan lima pertukaran pemain ini?
Other posts by Khairul Nizam