Football

FIFA bentang cadangan pembahagian slot untuk Piala Dunia 48 pasukan

Piala Dunia dengan 48 pasukan?

Pertandingan yang dahulunya memakan masa sebulan, kini mungkin akan memakan masa hampir dua bulan untuk tamat.

FIFA umum pembahagian slot

Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) awal pagi ini mengumumkan cadangan pembahagian slot untuk Piala Dunia yang akan disertai 48 pasukan, termasuk slot automatik untuk Oceania, 16 tempat untuk zon Eropah – daripada 13 yang asal – dan pertandingan di antara enam pasukan yang mewakili setiap zon untuk baki dua lagi tempat.

Menurut FIFA, cadangan tersebut akan dihantar kepada majlis FIFA di mesyuarat penuh yang akan berlangsung pada bulan Mei di Bahrain untuk keputusan terakhir.

Di dalam cadangan tersebut, yang dibuat oleh Biro FIFA, untuk kejohanan yang dibesarkan dan akan bermula pada 2026, Eropah akan mendapat 16 tempat automatik, sembilan untuk Afrika, lapan untuk Asia, enam untuk Amerika Selatan, enam untuk Concacaf dan satu Oceania, menjadikan ianya 46 pasukan.

Tuan rumah akan layak secara automatik dan slotnya akan diambil dari konfederasi mereka.

Ada kejohanan playoff rebut baki dua slot

Dalam bahagian paling inovatif dari cadangan tersebut, dua lagi tempat akan dipertandingkan di antara enam pasukan yang akan mengambil tempat di negara tuan rumah Piala Dunia, mungkin sekitar November sebelum kejohanan bermula, kata FIFA.

Kejohanan playoff itu akan melibatkan satu pasukan dari setiap konfederasi, selain UEFA dan baki satu lagi dari negara tuan rumah.

FIFA membuat keputusan pada bulan Januari untuk menambah bilangan pasukan dari 32 kepada 48.

Buat masa ini, pembahagian tempat adalah 13 untuk Eropah, lima untuk Afrika, empat untuk Asia dan Amerika Selatan serta tiga untuk Concacaf. Asia, Amerika Selatan, Concacaf dan Oceania juga mendapat tempat menerusi perlawanan play-off timbal balik.

Cadangan tersebut menunjukkan bagaimana bolasepak telah berkembang dalam tempoh 40 tahun ini.

Pada tahun 1978, ketika Piala Dunia hanya melibatkan 16 pasukan, Afrika dan Concacaf hanya mendapat satu tempat sementara Asia dan Oceania perlu merebut satu tempat sesama sendiri.

Berdasarkan cadangan terbaru dan kedudukan FIFA ini, kita mungkin melihat negara yang tak pernah beraksi di Piala Dunia seperti Burkina Faso, Haiti, St Kitts dan Nevis dan Uzbekistan beraksi di Piala Dunia.

2026 itu masih lama lagi, jika Malaysia memulakan perubahan dari sekarang, tidak salah untuk kita bercita-cita mahu beraksi di pentas Piala Dunia pada tahun 2026.

 

Other posts by