Apakah cara terbaik untuk memberitahu seorang pekerja bahawa dia tidak lagi diperlukan?
Ada syarikat yang gemar memberitahu secara bersemuka, ada yang akan hanya memberi surat dan ada yang akan mengupah orang atau syarikat lain untuk memberitahu berita sedih berkenaan.
Tapi bagi Frank Bernhardt, dia mengetahui perkara berkenaan melalui medium berbeza.
Tahu menerusi media
“Saya hanya mengetahui mengenai keputusan ini menerusi laporan media. Saya tidak menerima sebarang surat atau dihubungi oleh sesiapa dari FAM untuk memaklumkan perkara ini. “
Begitulah ungkapan bekas jurulatih skuad bawah 22 tahun negara, Frank Bernhardt seperti dilaporkan oleh Harian Metro ketika ditanya mengenai berita pemecatannya oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sabtu lalu.
Masih segar dari membawa pasukan kendaliannya menyertai Piala Dubai Bawah 23 tahun, bekas jurulatih skuad bawah 19 tahun Estonia itu menyatakan bahawa dia akan berjumpa FAM untuk membincangkan perkara tersebut.
“Saya akan berbincang dengan FAM dan selepas ini baru saya akan membuat keputusan.”
Berhardt sebelum ini dilantik oleh FAM untuk mengendalikan skuad bawah 22 tahun negara bagi menghadapi Sukan SEA yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos ini.
Jurulatih kelahiran Jerman ini dilantik pada Disember 2015 dengan kontrak selama dua tahun.
Kini tugas Frank Bernhardt telah diberikan kepada bekas jurulatih skuad senior, Datuk Ong Kim Swee yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA pada tahun 2011 di Indonesia.
Perkara ini diumumkan oleh presiden baru FAM, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim pada kongres FAM yang ke-53 pada hari Sabtu lalu.
Punya ideologi berbeza
TMJ dalam satu wawancara bersama akhbar NST menyatakan bahawa antara sebab mereka tidak dapat berkerjasama adalah kerana mereka berdua mempunyai ideology berbeza.
“Untuk sekarang, saya rasa saya perlukan pasukan baru dan saya tidak melihat kami boleh berkerja bersama. Dia mempunyai ideologi berbeza dan mempunyai cara berbeza dalam menguruskan sesuatu. Saya berkerja dengan cara berbeza. Oleh kerana sekarang saya adalah presiden, saya rasa semua orang perlu menghormati keputusan saya dan apa yang saya mahu lakukan.
“Oleh itu, berikan saya masa untuk memperbaiki pasukan kebangsaan dalam tempoh singkat. Saya akan berjumpa dengan Bernhardt dan berbincang dengannya untuk melihat apa yang kami boleh lakukan tetapi untuk sekarang inilah pelan jangka masa pendek saya.”
Other posts by Khairul Nizam