Football

Thailand mahu ambil inspirasi dari Singapura dalam perlawanan menentang Jepun

Kebiasaannya kita mendengar pasukan-pasukan mahu mengambil inspirasi dari pasukan gergasi.

Tetapi ada juga pasukan-pasukan underdog yang menjadi inspirasi kepada pemain atau pasukan. Lihat saja seperti Leicester yang berjaya menjadi juara Liga Perdana Inggeris musim lalu dan mara ke suku akhir Liga Juara-Juara musim ini.

Thailand mahu ikut Singapura

Juara Piala AFF Suzuki dan gergasi bolasepak Asia Tenggara, Thailand, nampaknya mahu mengambil inspirasi dari jiran serantau, Singapura dalam perlawanan menentang Jepun pada malam ini di Stadium Saitama.

Pasukan Singapura yang dikendalikan oleh Vahid Halilhodzic berjaya menahan asakan pasukan Samurai Biru dan mengikat mereka 0-0 dalam perlawanan yang berlangsung pada Jun 2015 itu sekaligus mencipta kejutan ke atas gergasi Asia itu.

“Kami tidak akan rugi apa-apa,” kata jurulatih Thailand, Kiatisuk Senamuang dalam sidang media seperti dilaporkan Kyodo News.

“Kami mempunyai semangat dan jiwa untuk berjuang, oleh itu kami akan memberikan persembahan terbaik. Ianya satu peluang baik untuk bermain menentang Jepun, yang sering layak ke Piala Dunia.

“Kami tidak tahu jika kami akan mampu melakukan apa yang Singapura lakukan di sini (Jepun). Tetapi kami akan memberikan yang terbaik, kami mahu bermain untuk mendapatkan tiga mata. Namun, ianya agak sukar, satu mata akan menjadi kejayaan buat kami untuk dibawa pulang.

”Jika pemain kami mampu bermain dengan baik, ianya akan menjadi perlawanan yang menarik.”

Thailand di kedudukan tercorot

Dengan baki empat perlawanan lagi dalam pusingan kelayakan, pasukan Thailand kini berada di kedudukan paling bawah kumpulan B dengan hanya satu mata. Secara kasar, mereka masih mampu layak, tetapi memerlukan beberapa keputusan mengejutkan untuk mereka layak ke Piala Dunia 2018 di Russia.

Thailand tewas 3-0 kepada pendahulu kumpulan, Arab Saudi pada hari Khamis lalu di Bangkok.

Namun, Kiatisuk yakin bahawa anak buahnya masih bersemangat dan tidak tertekan untuk menentang Jepun yang merupakan juara Asia empat kali serta bermain di hadapan 64,000 penyokong tuan rumah.

“Kami melihat Jepun sebagai salah satu pasukan terbaik dalam kumpulan dan dengan kemenangan mereka ke atas UAE di tempat lawan, ianya akan menjadi lebih sukar buat Thailand dalam perlawanan esok (hari ini).

”Ianya bagaikan mimpi untuk semua pemain kami. Sudah sekian lama Thailand tidak menentang Jepun di Jepun. Saya memberi peluang kepada mereka untuk bermain menentang pasukan terbaik di Asia, dan stadium ini pernah menjadi gelanggang Piala Dunia pada tahun 2002, oleh itu ianya satu tempat bersejarah. Kami mahu menikmatinya esok.”

Other posts by