Badminton

Chong Wei Feng ungguli Kejohanan Terbuka Antarabangsa KCBC 2017

Bekas pemain perseorangan kebangsaan, Chong Wei Feng menepati ramalan apabila berjaya menjuarai Kejohanan Terbuka Antarabangsa Perseorangan Lelaki Klang City Badminton Club (KCBC) 2017 bagi kategori Lelaki Terbuka yang berlangsung di 89 Arena, Klang hari ini.

Wei Feng, 30, yang kini berada di ranking no. 42 dunia mengambil masa 33 minit untuk menumpaskan lawannya, Alfred Lau Yu Leong, 22, dengan keputusan 21-19, 21-9 dalam perlawanan akhir yang berlangsung petang tadi.

Kejohanan Terbuka Antarabangsa Perseorangan Lelaki KCBC 2017 merupakan pertandingan pertama seumpamanya yang dianjurkan oleh KCBC pada tahun ini hasil sokongan tajaan daripada jenama minuman isotonik, FORCA dan penaja gelanggang, 89 Arena Klang.

Menurut Pengerusi KCBC, Patrick Chong, pertandingan ini merupakan platform terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu dari seluruh pelusuk negara.

“Pada penganjuran kali ini kita fokuskan 3 peringkat umur iaitu bawah 12, 15 dan 19 tahun, disertai kategori Lelaki Terbuka. Fokus diberikan kepada pemain-pemain peringkat umur yang ingin mencari medan bagi mengasah bakat mereka.

Beliau turut menyifatkan pertandingan yang dianjurkan pada hari ini telah mencapai objektifnya.

“Bagi saya, penganjuran pada hari ini sangat berjaya. Ramai pemain-pemain muda terutamanya amatur mendapat pentas memperagakan aksi mereka di kejohanan yang kompetitif.

“Kelab kami sendiri mempunyai 600 pelatih. Jadi, kita perlukan lebih banyak platform untuk pemain-pemain ini beraksi. Kami kini merancang lebih banyak kejohanan sepanjang tahun ini, melibatkan lebih banyak kategori.”

Dalam perkembangan lain, Han Chen Low dengan mudah menewaskan Hong Quan Lok 21-15,21-12 dalam perlawanan akhir kategori bawah-12 tahun. Kategori bawah-15 tahun pula dimenangi oleh Mohd Iskandar Zulkarnain dengan mengenepikan cabaran Jia Jie Tan 27-29,21-18,21-19, manakala kejuaraan kategori bawah-19 tahun dirangkul Mohd Nuraidil Adha apabila Yap Chee Yong ditumpaskan dengan keputusan 21-13,21-14.

Juara Lelaki Terbuka membawa pulang wang kemenangan sebanyak RM10,000 berserta medal dan raket tajaan Victor. Manakala RM1,000, RM500, dan RM 350 disediakan buat kategori bawah-19, 15 dan 12 tahun.

Keputusan Penuh
Kategori Lelaki Terbuka
Juara: Chong Wei Feng
Naib Juara: Alfred Lau Yu Leong
Ketiga: Muhd Ziyad
Keempat: Syed Akhbar Shah

Kategori Bawah-19 Tahun
Juara: Mohd Noraidil Adha
Naib Juara: Yap Chee Yong
Ketiga: Muhd Norzaihani Hafizi
Keempat: Jie Kai Lim

Kategori Bawah -15 Tahun
Juara: Mohd Iskandar Zulkarnain
Naib Juara: Jia Jie Tan
Ketiga: Zi Feng Siow
Keempat: Amirul Rohim

Kategori Bawah-12 Tahun
Juara: Han Chen Low
Naib Juara: Hong Quan Lok
Ketiga: Mohd Haziq
Keempat: Kean Wei Tan

Other posts by