Football

Odemwingie tidak jadi ke Madura United, intai sertai kelab Indonesia lain

Telah menandatangani kontrak dengan kelab lain, tiba-tiba berubah hati dan mahu sertai kelab lain?

Ini antara perkara yang boleh dianggap tidak profesional namun ianya biasa terjadi di kalangan pemain bolasepak walaupun yang bertaraf dunia.

Odemwingie tidak jadi ke Madura

Bekas pemain Stoke City dan West Brom, Peter Odemwingie dikhabarkan tidak jadi ke Madura United dan akan menyertai pasukan lain di Liga 1 Indonesia.

Pengurus Madura United, Haruna Soemitra menyatkaan bahawa Odemwingie sebelum ini telah bersetuju untuk menyertai pasukan yang dikenali sebagai Laskar Sappeh Kerrab itu sebagai marquee player bahkan Odemwingie sudah menandatangani perjanjian bertulis bersama kelab tersebut.

“Odemwingie sudah menandatangani perjanjian untuk menyertai kami, namun kini dia mahu pergi ke pasukan lain,” kata Haruna seperti dipetik dari indosport.com.

Haruna menambah: “Ejen Odemwingie dari England tiba-tiba memberitahu saya bahawa dia membatalkan keputusan untuk menyertai Madura kerana ada tawaran lebih baik dari pasukan lain.”

Haruna turut menyatakan bahawa ejen Odemwingie telah menipu mereka. Dia dikatakan telah menerima tawaran yang lebih baik berbanding tawaran kontrak asal yang diberikan Madura United untuk Odemwingie.

Terima tawaran lebih dari Essien

“Tawaran yang diberikan itu jumlahnya tinggi,” kata Haruna.

“Jumlahnya melebihi kontrak Michael Essin bersama Persib Bandung.”

Kontrak Essien bersama Persib Bandung dikatakan sekitar Rp8-10 milliar (RM 3,317,328) untuk semusim. Menurut laman data statistik, Transfermrkt, Odemwingie ketika ini dikatakan memiliki nilai kontrak bernilai 500 ribu euro atau sama dengan Rp7 milliar (RM 2,322,129).

Odemwingie ke Bandung?

Setakat ini masih tidak diketahui kelab mana yang telah menyebabkan Odemwingie mengkhianati kontrak yang telah ditandatanganinya bersama Madura United. Tidak banyak pasukan di Indonesia yang mampu mendapatkan marquee player walaupun di Liga 1.

Setakat ini, dikatakan Persib adalah kelab yang telah menyebabkan perkara tersebut berlaku ekoran kekuatan kewangan pasukan dari Bandung itu yang mampu mendapatkan Michael Essien.

Ketika ditanya mengenai perkara tersebut, pengurus Persib, Umuh Muchtar berkata: “Tunggu dan lihat saja pada 2 April nanti.”

Persib Bandung akan mengadakan majlis memperkenalkan pasukan pada 2 April dan jurulatih Persib, Djajang Nurdjaman pernah menyatakan bahawa akan ada kejutan pada hari pelancaran pasukan itu nanti.

Selain Odemwingie, Persib juga dikaitkan dengan pemain naturalisasi Indonesia seperti Raphael Maitimo dan bekas penyerang West Ham, Carlton Cole.

Other posts by