Football

Giliran Diego Forlan ke Indonesia?

Kegilaan kelab Indonesia untuk mendapatkan pemain berstatus bintang tidak terhenti setakat Michael Essien dan Peter Odemwingie.

Kebanyakan kelab sekarang dilihat seakan-akan mahu menjadikan pemain berstatus ‘marquee signing’ sebagai satu keperluan berbanding kelebihan sehingga kadang-kadang lupa kemampuan kewangan sendiri.

Forlan ke Arema

Sebelum ini kita mendengar khabar mengenai kononnya empat pemain iaitu Mahamadou Diarra, Mohamed Sissoko, Marouane Chamakh dan Carlton Cole akan berhijrah ke Indonesia, namun sehingga kini tiada perkembangan lanjut.

Terbaru, bekas penyerang Manchester United dan Atletico Madrid, Diego Forlan dikhabarkan akan menjadi pemain berstatus bintang baru yang akan ke Liga Indonesia selepas dia dikaitkan dengan perpindahan ke Arema FC.

Ketua jurulatih Arema, Aji Santoso menganggap Forlan sebagai pemain yang sememangnya berkualiti dan mampu membantu Arema.

“Forlan tentu tersenarai dalam kriteria penyerang yang dimahukan Arema,” kata Aji dalam satu wawancara bersama Bola.com

Tidak mahu marquee player

Namun, kedatangan Forlan ke pasukan yang berpengkalan di Malang itu dinafikan oleh pegawai media Arema FC, Sudarmaji.

Bercakap kepada Bola.com, dia berkata: “Sekali lagi kami tegaskan, kami belum merancang untuk mendapatkan pemain berstatus ‘marquee player’. Dengan pasukan yang ada sekarang, prestasi Arema sudah cukup bagus.”

Mendengar mengenai kehadiran Forlan ke Arema FC, penyerang berbisa mereka Cristian Gonzales turut menyatakan bahawa pembelian Forlan adalah satu pembaziran dan wang tersebut seharusnya digunakan untuk membayar gaji pemain.

Bercakap kepada wearemania.com, dia berkata: “ Saya tahu untuk mendapatkan pemain bertaraf dunia memerlukan wang yang banyak. Pastinya kewangan Arema akan lebih terjaga jika pihak pengurusan menggunakan wang tersebut untuk membayar gaji pemain sedia berbanding mendapatkan ‘marquee player’.

“Saya rasa kami harus realistik, kerana untuk mendapatkan pemain bintang seperti itu tidak murah, lebih baik wang tersebut digunakan untuk hal yang lebih penting.”

Kesimpulan

Apa yang dikatakan oleh Cristian Gonzales itu betul. Kelab perlu melihat keadaan kewangan mereka dengan betul. Jangan dibazirkan semata-mata mahu mendapatkan pemain bintang sedangkan gaji pemain juga susah untuk dibayar.

Tanpa kehadiran ‘marquee player’ pun Arema FC sudah mampu menjulang trofi Piala Presiden 2017. Jika skuad yang ada sudah cukup mantap, mungkin Arema tidak perlukan nama besar untuk menguatkan pasukan mereka, apatah lagi pemain bertaraf bintang yang sudah melepasi zaman kemuncaknya dan hanya mahu berpindah kerana ditawarkan wang yang banyak.

Other posts by