Isu lewat membayar gaji dengan pasukan Kelantan nampaknya tidak dapat dipisahkan.
Kita sudah mendengar rintihan dari pemain sama ada tempatan atau import dan bekas jurulatih yang pernah bersama Kelantan bercakap mengenai isu gaji yang lewat dibayar.
Tan Sri Annuar musa suntik dana
Bekas presiden Kelantan FA, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan di laman Facebook peribadinya menyatakan bahawa dia akan membantu Persatuan Bolasepak Kelantan untuk membayar gaji pemain.
“Esok (hari ini) jam 11.30 pagi, InsyaAllah saya akan sampaikan dana RM 2 juta kepada bendahari KAFA yang sempat saya ikhtiarkan. Harap ianya membantu selesaikan segera apa jua masalah yang ada,” kata Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan di laman Facebooknya itu.
Sebelum ini ramai bekas pemain antaranya Jonathan Mckain yang pernah menyuarakan mengenai isu kelewatan pembayaran gaji oleh KAFA.
Annuar Musa salahkan penaja
Turut dinyatakan oleh Tan Sri Annuar Musa dalam kenyataan di laman Facebooknya itu adalah mengenai punca kelewatan pembayaran gaji.
“Saya difahamkan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) lewat membayar gaji kerana terdapat penaja yang lambat membuat bayaran. Pengurusan harus kuatkan usaha dan mengurus cash flow supaya moral pemain tidak terjejas.”
Tan Sri Annuar Musa juga berharap agar isu kelewatan pembayaran gaji ini tidak akan mengalihkan perhatian dan pemain serta pihak pengurusan akan fokus untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
Kesimpulan
Setelah sekian lama, masih timbul mengenai kelewatan pembayaran gaji. Ditambah pula ianya menjadi isu berbangkit dari pasukan yang sama.
Apakah pihak pengurusan tidak melakukan apa-apa untuk menyelesaikan isu ini? Jika ianya berlaku hanya sekali, mungkin ianya masih boleh dipandang enteng. Tetapi setelah berulang kali berlaku, ini bermakna pihak pengurusan bermasalah.
Pemain dan staff juga mempunyai keluarga dan hutang yang perlu dibayar. Isu kelewatan pembayaran gaji tidak seharusnya berlaku terutamanya jika kita mahu menjadi kelab profesional.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selaku badan pentadbir bolasepak negara bersama FMLLP selaku badan yang menguruskan liga seharusnya tegas dengan perkara seperti ini dan isu berulang seperti ini perlu dipandang serius.
Other posts by Khairul Nizam