Tanggal 25 Mac ini akan menjadi satu tarikh yang penting buat peminat bolasepak tempatan.
Pemilihan FAM akan menyaksikan kerusi Presiden FAM menjadi rebutan di antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Tan Sri Annuar Musa.
TMJ bentang manifesto
Menjelang pemilihan FAM pada 25 Mac ini, TMJ telah membentangkan manifesto beliau dengan mengutamakan tema ‘Bolasepak Adalah Milik Rakyat’ menerusi laman Facebook Johor Southern Tigers pada hari Isnin.
Menurut kenyataan TMJ di laman Facebook berkenaan: “Manifesto yang diperincikan di bawah telah dikaji dengan penuh teliti melalui perundingan, penyelidikan dan pengalaman serta menetapkan beberapa objektif utama sebuah organisasi diketuai oleh saya yang akan berusaha untuk mencapainya pada tahun-tahun mendatang.”
Manifesto yang dibentangkan oleh TMJ ada 11 kesemuanya. Ini adalah antara yang menarik dalam manifesto yang dibentangkan oleh TMJ.
- Memastikan bahawa Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak digunakan untuk kepentingan politik.
Perkara ini semestinya antara yang menarik perhatian penyokong tempatan. Sekian lama ahli politik telah menjadi sebahagian dari bolasepak negara, sama ada di dalam FAM atau persatuan negeri.
Berada di bawah naungan ahli politik ini kadangkala mengundang masalah, terutamanya apabila ada segelintir yang menggunakan kedudukan itu sebagai salah satu cara berkempen. Selain itu, masalah turut timbul terutamanya di persatuan bolasepak negeri, apabila berlaku perubahan dalam kerajaan negeri.
- Mengubah budaya bolasepak Malaysia. FAM dirombak sepenuhnya, di mana ia telah terbelenggu selama tiga dekad.
Antara yang menarik mengenai perkara ini adalah apabila TMJ mengumumkan bahawa mesyuarat exco FAM akan diadakan di setiap negeri secara bergilir dengan Sabah menjadi negeri pertama. Ini adalah untuk ahli jawatankuasa dapat melihat dan memantau kemudahan bolasepak dan pembangunan bolasepak di setiap negeri. Ini secara tidak langsung akan menyebabkan setiap persatuan bolasepak negeri lebih aktif dan fokus untuk bolasepak negeri masing-masing.
Bahkan, turut disebut oleh TMJ adalah setiap lawatan ke negeri-negeri akan turut disertakan dengan sesi bertemu penyokong bolasepak negeri berkenaan. Ini adalah sesuatu yang berbeza kerana akhirnya penyokong bolasepak tempatan mempunyai suara.
- Pembaharuan urus tadbir dan pentadbiran – untuk mengubah struktur organisasi kebangsaan
Bagi manifesto ini, TMJ menyatakan bahawa segala salah laku FAM seperti salah pengurusan dana, kekurangan profesionalisma, isu-isu integriti, kekurangan semangat dan rasuah akan diperbetul.
Sudah sekian lama penyokong menyedari mengenai salah laku yang berlaku dalam FAM, namun tidak mampu berbuat apa-apa. Untuk mengubah perkara ini mungkin akan mengambil masa, tetapi bagi para penyokong lebih baik perubahan itu mengambil masa yang sedikit lama berbanding tiada perubahan langsung.
- Meningkatkan nilai komersial Liga Super dan Liga Premier
Agak lucu apabila bolasepak menjadi sukan nombor satu negara, tetapi badan pentadbir dan persatuan bolasepak negeri tidak mampu mencari dana untuk pasukan.
Dengan cara pemasaran yang betul, semua pasukan yang beraksi dalam Liga Super dan Liga Premier mampu menjana wang yang banyak.
Ini termasuk isu hak siaran kerana jika kita melihat kepada liga di luar negara, banyak kelab dan pasukan mampu menjana wang menerusi hak siaran. Namun, di Malaysia isu ini terus berlaku dan TMJ sering menyebut mengenai perkara ini. Selepas ini mungkin semua pasukan akan mampu menjana lebih wang sekaligus mengatasi masalah kekurangan dana.
- Pembangunan Permainan – Keseluruhan Program Pembangunan Bolasepak Malaysia
Isu pembangunan antara perkara yang sering dibangkitkan oleh peminat bolasepak tempatan. Kita mempunyai banyak akademi bolasepak, namun tiada struktur liga rasmi untuk membantu pembangunan pemain-pemain akademi. Setakat ini kita hanya mempunyai saingan Piala Belia dan Piala Presiden dan itu tidak mencukupi jika kita mahu melahirkan lebih ramai pemain muda untuk menyarung jersi pasukan kebangsaan.
Antara perkara yang akan dilakukan TMJ jika dia menjadi presiden adalah penubuhan struktur pertandingan peringkat kebangsaan untuk setiap program akademi.
Apa yang menarik, pembangunan itu bukan fokus pada pemain sahaja tetapi juga untuk melahirkan lebih ramai jurulatih berbakat. Selain itu, pembangunan ini akan melibatkan semua rakyat dan TMJ akan berkerjasama dengan jabatan tertentu di dalam kerajaan untuk memastikan golongan kelainan upaya untuk turut terlibat dalam pembangunan bolasepak negara. TMJ juga akan turut membantu membangunkan bolasepak wanita dan akan memastikan wanita diberi lebih sokongan dan peluang untuk terlibat dalam bolasepak.
Kesimpulan.
Ada enam lagi manifesto TMJ dan semuanya juga menarik. Membaca manifesto yang dibentangkan oleh TMJ ini, sememangnya dapat dilihat bahawa TMJ benar-benar mahu melibatkan semua rakyat dalam pembangunan bolasepak negara.
Namun, ada sesetengah manifesto TMJ mungkin tidak berapa popular dengan perwakilan yang akan mengundi nanti kerana apa yang dimahukan TMJ adalah rombakan besar- besaran.
Diharap pada 25 Mac ini, keputusan pemilihan akan memberi kelebihan kepada penyokong. Walau siapa pun yang memegang tampuk kepimpinan FAM diharap sedar bahawa sukan ini adalah milik semua dan bukan milik FAM sahaja.
Other posts by Khairul Nizam