Football

Skuad muda Luis Milla tewas perlawanan pertama

Perlawanan pertama untuk seorang jurulatih kebiasaannya akan tetap dinilai oleh penyokong.

Dari aksi pertama, mereka akan menilai corak permainan dan juga kepakaran taktikal seorang pengendali. Ada yang tidak kisah dengan keputusan, dan ada juga yang akan menganggap keputusan di perlawanan pertama seorang jurulatih itu sebagai sesuatu yang penting.

Indonesia tewas

Jika ramai yang menganggap keputusan perlawanan pertama itu penting, pastinya nasib Luis Milla tidak begitu baik.

Dalam perlawanan pertama kendalian jurulatih yang berasal dari Sepanyol itu, skuad bawah 22 tahun Indonesia tewas 1-3 kepada Myanmar dalam perlawanan persahabatan yang berlangsung di Stadium Pakansari, Bogor pada hari Selasa.

Membariskan pemain-pemain muda yang tidak pernah beraksi untuk skuad senior, pasukan ini dibentuk bagi menghadapi Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada Ogos nanti.

Indonesia bermula garang

Skuad muda Indonesia bermain dengan tempo yang pantas dan bersemangat, namun kesilapan mudah dalam perlawanan menjadi punca mereka tewas kepada Myanmar.

Indonesia menjaringkan gol pertama perlawana pada minit ke-22 menerusi Nur Hardianto yang menanduk masuk hantaran lintang Saddil Ramdani sekaligus menggembirakan penyokong tuan rumah.

Indonesia terus mengancam kubu Myanmar namun tidak berjaya dan pada minit ke-36 gawang skuad Garuda Muda bocor apabila Maung Maung Lwin menjaringkan gol penyamaan.

Ezra Walian beraksi

Pada separuh masa kedua, pemain naturalisasi baru yang menjadi sebutan penyokong Indonesia, Ezra Walian dimasukkan bersama Evan Dimas.

Namun, kemasukan dua pemain itu gagal menghalang Myanmar untuk menjaringkan gol kedua menerusi sepakan penalti Kyaw Ko Ko selepas Adi Nugroho melakukan kekasaran di dalam kotak penalty.

Indonesia hampir mendapat gol penyamaan pada minit ke-80 menerusi penyerang muda Ajax, Ezra namun berjaya ditepis penjaga gol Myanmar.

Di saat Indonesia menggandakan asakan, gawang mereka bolos lagi apabila Si Thu Aung menjaringkan gol di masa kecederaan sekaligus memberikan kemenangan 3-1 kepada Myanmar.

Kesimpulan

Dibarisi pemain muda dan masa yang singkat, masih banyak masa untuk Luis Milla melatih pasukan untuk bermain seperti yang dikehendakinya.

Menggunakan skuad muda untuk menentang skuad Myanmar yang dibarisi pemain senior akan menjadi pengalaman berguna buat pasukan Indonesia. Masa depan bolasepak Indonesia akan dipikul oleh pemain-pemain muda ini. Pastinya penentu nasib Luis Milla akan bergantung kepada keputusan skuad ini di Sukan SEA nanti.

Other posts by