Football

Go-Jek diumum penaja utama Liga Indonesia

Setiap liga bolasepak memerlukan penaja untuk terus aktif dan berlangsung tanpa sebarang masalah.

Seperti Barclays dengan Liga Perdana Inggeris atau TM untuk Liga Super Malaysia, kepentingan penaja untuk sesuatu liga itu tidak dapat dinafikan.

Go-Jek umum kerjasama

Syarikat Go-Jek yang menyediakan kemudahan aplikasi pengangkutan telah mengumumkan bahawa mereka akan berkerjasama bersama PT Liga Indonesia Baru, selaku badan yang menguruskan Liga 1 2017 pada hari Selasa. Kerjasama mereka akan bermula selari dengan sepak mula Liga 1 pada 15 April nanti.

“Kami berbangga dapat menjadi sebahagian daripada Liga 1. Bolasepak telah menjadi sukan yang dicintai dan dapat menyatukan seluruh lapisan masyarakat di Indonesia,” ujar CEO dan founder Go-Jek, Nadiem Makarim seperti dilaporkan oleh Kompas.com.

“Selain itu, kami melihat adanya semangat ekonomi yang melibatkan rakyat di mana di setiap perlawanan akan adanya kitaran ekonomi yang melibatkan pengusaha kecil. Semangat ini sesuai dengan misi Go-Jek untuk menerapkan micro-entrepreneur dan pengusaha kecil.”

Tawar bantuan lebih banyak

Antara aplikasi atau kemudahan yang disediakan oleh Go-Jek untuk menyokong penyelenggaraan liga adalah menerusi Go-Pay yang akan menjadi medium pembayaran, Go-Ride dan Go-Car sebagai medium pengangkutan ke stadium dan Go-Tix sebagai medium rasmi untuk penyokong membeli tiket perlawanan.

Nadiem turut menyatakan bahawa Go-Jek akan membantu lebih banyak lagi sepanjang liga berlangsung.

“Tidak menutup kemungkinan akan ada lebih banyak yang boleh diberikan oleh Go-Jek untuk membantu pengurusan liga.”

Nadiem turut berharap semua pengendali dan pengguna yang terlibat dengan Go-Jek untuk menyokong Liga 1.

“Go-Jek mengajak seluruh pengendali kami seperti pemandu, pengusaha Go-Food, pengendali Go-Box dan pengguna Go-Life serta pelanggan Go-Jek di seluruh Indonesia untuk menyemarakkan Liga 1 dan menyokong pasukan masing-masing.”

Liga 1 yang akan berlangsung bermula pada 15 April akan melibatkan 18 pasukan iaitu Arema FC, Bali United, Barito Putera, Bhayangkara FC, Madura United, Mitra Kukar, Persiba Balikpapan, Persib Bandung, Persela Lamongan, Persegres Gresik United, Perseru Serui, Persija Jakarta, Persipura Jayapura, Pusamania Borneo FC, PS TNI, PSM Makassar, Semen Padang dan Sriwijaya FC.

Other posts by