Liga Indonesia sudah mempunyai bekas pemain Chelsea, Stoke dan mungkin akan tiba bekas pemain Liverpool, Arsenal dan Real Madrid pula.
Namun, mungkin selepas ini Liga Indonesia akan dikejutkan dengan kehadiran bekas pemain….Sarawak dan Kuala Lumpur?
Benedict Martin ke Surabaya?
Menurut laman web Sarawakcrocs.com , bekas pemain tengah Sarawak dan Kuala Lumpur, Benedict Martin bakal ke Indonesia selepas dijemput untuk menghadiri sesi trial bersama kelab di sana.
Dikhabarkan, Benedict menghadiri percubaan selama beberapa hari bersama dengan sebuah kelab yang berpengkalan di Surabaya.
Anak kelahiran Kuching, Sarawak itu sebelum ini pernah beraksi bersama Perak, Sarawak dan Kuala Lumpur. Bersama skuad City Boys, Benedict membuat penampilan sebanyak 32 kali dan menjaringkan lima gol.
Pemain berusia 29 tahun itu bermain di posisi tengah dan pernah memegang peranan ketua pasukan ketika bersama Kuala Lumpur.
Tiada khabar berita
Buat masa ini masih belum ada sebarang khabar mengenai nasib Benedict Martin dan bila dia akan ke Surabaya untuk menjalani percubaan.
Buat masa ini, pemain tengah itu masih belum menyertai mana-mana pasukan dan kali terakhir dia beraksi adalah pada tahun 2015 bersama Kuala Lumpur.
Bersama pasukan Sarawak, Benedict Martin membuat 11 penampilan dan menjaringkan satu gol dalam tempoh dua tahun. Bersama pasukan Perak pula, dia membuat 13 penampilan dan menjaringkan empat gol.
Mungkin penghijrahan Benedict ke Surabaya akan menghidupkan semula kariernya dan membuka peluang buat pemain Malaysia untuk beraksi di Liga Indonesia selepas Safee Sali yang beraksi bersama Pelita Jaya dahulu.
Benedict Martin merupakan antara tujuh pemain Kuala Lumpur yang dituduh terlibat dengan gejala mengatur perlawanan ketika beraksi di Liga Perdana pada tahun 2013.
Selain Benedict, turut dipanggil untuk memberi keterangan adalah Azizon Kadir, Syazwan Mohamed Rani, Mugilan Kartik Jaya, Muhammad Azwan Jatin, Sivaraj Sadubathi dan Mohamad Amirul Asraf Mohd. Noor.
The next Safee Sali?
Pemain Malaysia terakhir yang beraksi di Indonesia, Safee Sali ketika bersama Pelita Jaya berjaya menaikkan nama Malaysia di Liga Indonesia dan menjadi antara bintang import yang menyerlah di Indonesia.
Bersama Pelita Jaya, Safee Sali menjaringkan 27 gol dari 45 penampilan dan menjadi tonggak buat pasukan itu. Safee turut dilantik sebagai ketua pasukan dan menjadi antara pemain yang menerima gaji tertinggi dalam Liga Indonesia dengan jumlah bayaran mencecah USD 10,000.
Jika perpindahan Benedict ini benar, dia akan menjadi pemain kedua yang pernah beraksi bersama Kuala Lumpur dan Sarawak berhijrah ke Indonesia.
Liga Indonesia yang bakal bermula pada bulan hadapan akan disertai ramai pemain dunia seperti Michael Essien, Peter Odemwingie dan mungkin akan disertai Mahamadou Diarra, Mohamed Sissoko, Marouane Chamakh dan Carlton Cole.
Other posts by Khairul Nizam