Football

Jelius dilantik ketua jurulatih baru Sabah

Seorang lagi jurulatih  Liga Malaysia direhatkan.

Tidak lama selepas Ashley Westwood ditamatkan kontrak oleh Persatuan Bolasepak Pulau Pinang, giliran ketua jurulatih Sabah, Steve Vilmiaire pula direhatkan oleh Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA).

Jelius ganti

Perkara ini diumumkan oleh Presiden SAFA, Datuk Seri Musa Aman dalam satu kenyataan yang dipamerkan di laman Facebook rasmi Persatuan Bolasepak Sabah.

Turut diumumkan adalah bekas pemain Sabah, Jelius Ating akan menggantikan tempat Steve dan akan berkuat kuasa serta merta.

Selain pertukaran jurulatih, SAFA turut mengumumkan bahawa jawatan pengurus pasukan yang sebelum ini disandang oleh Adlane Messelem kini akan diambil alih oleh Datuk Juil Nuatim.

Rombakan staff

Disebabkan Jelius dinaikkan ke skuad senior, skuad Piala Belia Bawah 19 tahun Sabah akan diambil alih oleh Awang Sabtu Jamil sementara jawatan pengurus Skuad Piala Presiden yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Juil akan diambil alih oleh Azman Mastar.

Datuk Seri Musa Aman turut mengumumkan bahawa seorang lagi bekas pemain Sabah, Burhan Ajui akan membantu Jelius selaku penolong jurulatih skuad senior Sabah.

Bertukar tempat dengan Burhan adalah Johny Dominicus yang telah diserap sebagai pembantu kepada Justin Ganai yang mengendalikan skuad Piala Presiden Sabah.

Keputusan disebabkan prestasi buruk

Prestasi buruk Sabah di Liga Perdana dikatakan sebagai punca tindakan tersebut diambil.

Sabah kini berada di tangga kedua tercorot liga selepas hanya memungut empat mata daripada lapan perlawanan.

Sabah mencatatkan satu kemenangan, satu seri dan enam kekalahan dalam saingan Liga Perdana setakat ini.

Dalam perlawanan terakhir Sabah menentang MISC –MIFA yang dijadual semula pada 15 Mac lalu selepas ditunda, skuad Badak tewas 3-1.

Melihat kepada prestasi dan kedudukan Sabah di Liga Perdana, tidak terkejut jika pihak pengurusan mengambil tindakan menukar jurulatih. Seperti Perlis yang juga menukar jurulatih, pastinya Sabah tidak mahu tersingkir ke Liga FAM.

Pertukaran jurulatih boleh menjadi pemangkin kepada pasukan dan memberi semangat baru kepada pemain. Untuk memastikan pasukan mendapat motivasi baru, kadang-kala keputusan drastik seperti menukar jurulatih perlu dilakukan oleh pihak pengurusan.

Other posts by