Nampaknya Indonesia bakal menjadi tarikan terbaru untuk bekas pemain di liga utama Eropah.
Selepas Essien dan Peter Odemwingie, nampaknya ada empat lagi pemain yang pernah bermain dengan kelab ternama Eropah yang menunjukkan minat untuk berkelana ke Indonesia.
Empat kelab berminat
Ejen yang membantu membawa Essie dan Odemwingie ke Indonesia, Amogou Matheiu menyatakan bahawa sekurang-kurangnya empat pasukan yang akan bermain di Liga 1 Indonesia berminat untuk membawa masuk ‘marquee signing’.
“Ada kelab-kelab ternama yang sudah meminta pertolongan saya. Tunggu saja sehingga mereka sampai. Ada empat pasukan atasan yang mahukan pemain bertaraf dunia,” kata Mathieu seperti dilaporkan oleh Bola.com.
Dikhabarkan bahawa antara kelab yang berminat membawa masuk bekas-bekas bintang Eropah itu adalah Bali United dan Pusamania Borneo FC.
Bekas bintang Arsenal dan Liverpool berminat
Antara pemain yang dikatakan bakal ke Indonesia adalah bekas pemain Liverpool Mohamed Sissoko, bekas pemain Real Madrid Mahamadou Diarra, bekas penyerang Arsenal Marouane Chamakh dan bekas penyerang England, Carlton Cole.
Namun, dari kesemua pemain tersebut, hanya Sissoko dan Diarra dikatakan paling berkemungkinan untuk menyertai Liga Indonesia.
Menurut Mathieu, dia sedang melakukan perbincangan secara intensif dengan dua pemain tersebut dan turut menyatakan bahawa kedua-dua pemain itu mula menunjukkan minat untuk mengikut jejak langkah Essien ke Indonesia.
“Sama seperti Essien, pada mulanya mereka tidak terlalu tertarik. Oleh sebab itu, sata perlu meyakinkan mereka terlebih dahulu.
“Saya juga baru saja berbincang secara terus dengan Diarra. Kami sudah berbincang dan dia juga sempat bertanya mengenai perpindahan Essien ke Indonesia. Nantikan perkembangan seterusnya.”
Syarat Liga bantu
Kelab-Kelab Indonesia yang akan bersaing di Liga 1 mula berlumba mahu mendapatkan pemain bertaraf dunia disebabkan syarat Marquee Player yang ditetapkan oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI). Dalam syarat tersebut pemain bersatus ‘Marquee Player’ tidak akan termasuk dalam senarai tiga pemain asing (2 pemain bukan Asia dan satu Asia) untuk musim ini.
Kelab-kelab Indonesia perlu ingat bahawa Marquee Player bukanlah satu kewajipan tetapi satu pilihan jika mereka mempunyai dana yang cukup atau penaja untuk membantu dari segi bayaran perpindahan dan gaji Marquee Player ini.
Other posts by Khairul Nizam