Football

Madura United dapatkan bekas pemain Stoke City

Nampaknya kelab Indonesia sedang gila mencari bekas pemain Liga Perdana Inggeris.

Selepas Essien menyertai Persib Bandung, nampaknya kelab-kelab lain juga tidak mahu kalah dan mendapatkan pemain bertaraf dunia yang terkenal.

Madura dapatkan Odemwingie

Selepas Essien, seorang lagi bekas pemain Liga Perdana Inggeris dikhabarkan sah menyertai kelab Indonesia.

Bekas pemain Stoke City, dan West Brom Peter Odemwingie dikhabarkan telah menyertai Madura United.

Odemwingie yang pernah beraksi untuk Lille, Lokomotiv Moscow dan Cardiff City telah menyertai Madura United sebagai pemain yang akan menggunakan syarat Marquee Player bagi kelab tersebut.

Disahkan pengurus

Berita kehadiran Odemwingie ini disahkan oleh pengurus Madura United sendiri, Haruna Soemitro.

Memetik kenyataan yang dilaporkan oleh tribunnews, Haruna berkata: “Untuk marquee player, kita sudah positif dan dapatkan Peter Odemwingie. Dia pemain yang sudah beraksi untuk pasukan kebangsaan Nigeria dan bermain di tiga edisi Piala Dunia, dan pemain ini sememangnya sesuai dengan kriteria dan syarat sebagai marquee player.”

Namun, Haruna tidak mahu menyatakan berapakah harga yang dibayar untuk mendapatkan Odemwingie.

“Ya, saya sudah semestinya tidak dapat sebutkan nilainya, kerana ini sumbangan dan inisiatif daripada penaja pasukan,” kata Haruna yang dipetik dari laman Instagram rasmi Madura United.

Odemwingie yang beraksi sebagai pemain sayap dan penyerang pernah menjaringkan 30 gol dari 87 penampilan untuk West Brom, sementara ketika dia beraksi untuk Stoke, hanya menjaringkan lima gol dari 27 penampilan.

Untuk pasukan kebangsaan pula, Odemwingie menjaringkan 10 gol dari 63 penampilan bersama skuad Nigeria.

Kesimpulan

Kehadiran pemain berstatus bintang ke Liga Indonesia mendapat reaksi bercampur di kalangan penyokong bolasepak Indonesa.

Ada yang melihatnya sebagai satu langkah positif untuk menghangatkan Liga Indonesia, namun, ada juga yang melihatnya sebagai sesuatu yang tidak perlu.

Ada satu komen yang menyatakan bahawa pemain berstatus bintang ini kebiasaanya digunakan untuk menarik penyokong ke stadium, tetapi di Indonesia, penyokong sudah sememangnya memenuhi stadium walaupun tiada pemain bintang.

Sebelum ini banyak kelab di Indonesia yang berdepan dengan masalah gaji pemain yang tertunggak sehingga berbulan lamanya. Ada yang mengambil masa bertahun-tahun baru boleh membayar tunggakan tersebut. Semoga tidak ada kelab yang bergolok gadai semata-mata mahu mengikut trend membeli pemain berstatus bintang.

Other posts by