Kalau nama besar, boleh guna empat pemain asing.
Nampaknya Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mahu menggalakkan lebih banyak kelab mendapatkan pemain asing ternama untuk bermain di Liga Indonesia.
Syarat khas pemain bintang
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Umum PSSI, Edy Rahmayadi mengenai syarat baru Liga 1 yang akan bermula pada 15 April nanti.
Edy mengumumkan perkara tersebut dalam pertemuan bersama perwakilan 18 kelab yang akan beraksi dalam Liga 1 di Jakarta pada hari Khamis.
Syarat yang dinyatakan tersebut menjelaskan bahawa setiap pasukan hanya boleh menandatangani tiga pemain asing iaitu dua pemain bukan Asia dan satu dari Asia.
Namun, kelab boleh memiliki empat pemain import jika salah seorang darinya merupakan pemain bolasepak terkenal atau disebut marquee player.
Syarat marquee player tersebut adalah pemain tersebut perlu berumur di bawah 35 tahun, pernah bermain di Piala Dunia dan boleh berasal dari mana-mana negara sahaja samada dalam Asia atau luar Asia.
Tidak lupakan pemain muda
Melihat pada syarat tersebut, pastinya ramai menyangka fokus utama adalah pada pemain bintang untuk memeriahkan Liga Indonesia seperti yang dilakukan oleh Indian Super League.
Tetapi PSSI tidak melupakan pembangunan pemain muda untuk masa depan bolasepak Indonesia.
Sama seperti Piala Presiden 2017, semua pasukan yang bertanding dalam Liga 1 perlu mempunyai lima pemain di bawah 23 tahun dan sekurang-kurangnya tiga dari mereka perlu bermain dalam setiap perlawanan.
Pemain bawah 23 tahun itu perlu bermain sekurang-kurangnay 45 minit dalam setiap perlawanan.
Selain itu, PSSI juga mengenakan syarat untuk had umur pemain. Setiap pasukan hanya boleh memiliki maksimum dua pemain di atas usia 35 tahun. Pastinya pemain seperti Cristian Gonzalez yang berusia 40 tahun merasa risau dengan syarat seperti ini.
GoJek taja Liga 1
Selain syarat-syarat ini, turut diumumkan adalah syarikat pengangkutan GoJek sebagai penaja utama Liga 1 Indonesia pada musim hadapan.
Dengan penajaan ini, Liga 1 Indonesia berkemungkina akan dikenali dengan nama Liga GoJek. Sepak mula Liga 1 akan diadakan pada 15 April sementara Liga 2 akan bermula pada 23 April.
Other posts by Khairul Nizam