Football

Persib mahu dapatkan dua pemain naturalisasi Indonesia

Nampaknya Persib mahu menjadi seperti Manchester City dalam saingan Liga Indonesia yang akan bermula April nanti.

Selepas berjaya mendapatkan bekas tonggak Chelsea, Michael Essien, kelab Bandung itu masih bernafsu untuk mendapatkan pemain hebat untuk beraksi bersama mereka.

Intai pemain kebangsaan

Selepas mendapatkan bekas pemain Chelsea, AC Milan dan Real Madrid itu, kali ini Persib mengintai pula dua pemain naturalisasi yang beraksi bersama pasukan kebangsaan Indonesia.

Pasukan yang digelar Maung Bandung itu secara terbuka menyatakan bahawa mereka mahu mendapatkan dua pemain naturalisasi Indonesia, Raphael Maitimo dan Stefano Lilipaly.

Jurulatih Persib, Djadjang Nurdjaman menyatakan bahawa rundingan bersama dua pemain itu sudah memasuki tahap akhir.

Lilipaly nafi

Namun, perkara ini dinafikan oleh Stefano Lilipaly yang menyatakan bahawa dia tidak dihubungi oleh Persib.

Dalam kenyataanynya kepada Kompas.com dia berkata: “ Saya hanya mendengar berita tersebut melalui media sosial. Saya tidak tahu betul atau tidak. Tidak ada sesiapa yang menghubungi saya atau ejen saya.”

Lilipaly kini sedang beraksi bersama SC Cambuur di divisyen dua liga Belanda dan mempunyai kontrak bersama pasukan yang digelar The Yellow Blues itu sehingga 30 Jun 2019 selepas menyertai mereka pada 24 Januari yang lalu.

Bersama Cambuur, Lilipaly berjaya membawa pasukan itu ke separuh akhir Piala Belanda sebelum disingkirkan AZ Alkmaar.

Bersama Cambuur, pemain berusia 27 tahun itu telah menjaringkan lima gol dan lima bantuan gol dari 11 penampilan.

Maitimo buat masalah di Makassar

Bagi Raphael Maitimo pula, dia sebelum ini dikhabarkan akan menyertai Sriwijaya FC namun, rundingan dibatalkan kerana dia dikaitkan dengan Persib.

Maitimo sebelum ini dikatakan meninggalkan pasukan PSM Makassar disebabkan perselisihan faham bersama jurulatih PSM, Robert Alberts walaupun baru sebulan menyertai pasukan itu.

Bercakap kepada Kompas.com, pemain berusia 32 tahun itu berkata: “Selepas sebulan berlatih bersama PSM, saya berbincang dengan jurulatih dan dapat dilihat ada perbezaan visi dari segi teknik mengenai bagaimana saya boleh digunakan sepenuhnya oleh pasukan.

“Saya tidak mahu menjadi beban untuk pasukan dan saya sedar tiada pemain lebih besar dari kelab.”

Bandung masih mencari penyerang import

Tidak cukup dengan Essien, Lilipaly dan Maitimo, Persib juga dikhabarkan masih mencari pemain import berstatus bintang untuk dijadikan penyerang bersama Sergio Van Dijk.

Persib benar-benar telah menghangatkan kembali Liga Indonesia dan menyebabkan ia menjadi sebutan selepas cuba mendapatkan pemain-pemain hebat untuk pasukan mereka.

Pastinya mereka mensasarkan untuk menjadi juara liga dan akan menjadi tugas berat untuk setiap pasukan yang akan datang bertandang ke Stadium Gelora Bandung Lautan Api apabila liga bermula nanti. Ini mengingatkan kita ketika Johor Darul Ta’azim (JDT) memulakan revolusi mereka.

Other posts by