Bekas jurulatih Kelantan, Velizar Popov akhirnya sah menyertai kelab Thailand Sisaket FC.
Jurulatih berusia 41 tahun itu diumumkan sebagai jurulatih bagi kelab yang berpengkalan di Sisaket itu yang mengikat kontrak selama setahun dengan pilihan sambungan setahun.
Umum menerusi laman sosial
Velizar Popov mengumumkan mengenai berita ini menerusi laman Twitter peribadinya malam semalam.
Ini merupakan kali kedua Popov melatih pasukan Liga Thailand selepas melatih Suphanburi FC pada tahun 2014.
Bekas pemain Lokomotiv Plovdiv di Bulgaria itu memulakan kerjayanya sebagai pengurus pasukan bersama Cherno More di Bulgaria bagi menggantikan Nikola Spasov selepas dua tahun berkhidmat sebagai pembantu.
Kelab Asia pertama
Popov pertama kali berkerja di Asia bersama kelab New Radient SC di liga Maldives pada Januari 2013.
Dia berjaya membawa kelab Maldives itu memenangi liga dengan rekod 100% kemenangan dan juga membantu mereka memenangi Perisai Komuniti Supercup Milo.
Di bawah kendalian Popov, New Radiant memecahkan rekod maksimum kejuaraan liga dan berjaya menewaskan Persib 7-0 dalam saingan Piala AFC, sekaligus menjadi rekod kemenangan terbesar New Radiant yang membantu mereka menduduki tangga teratas kumpulan mereka.
Jurulatih Bulgaria itu menyertai Suphanburi FC pada tahun 2014 dan membawa mereka menduduki tangga keenam dari 20 pasukan yang beraksi di Liga Thailand.
Sertai Kelantan
Pada tahun 2015, Popov diumumkan sebagai jurulatih pasukan kebangsaan Maldives menggantikan jurulatih Croatia, Drago Mamic. Namun, jodoh Popov bersama Maldives tidak panjang apabila dia meletakkan jawatan pada bulan Ogos 2015.
Popov menyertai Kelantan pada tahun 2016 bagi menggantikan K Devan yang meletakkan jawatan.
Di bawah kendalian Popov, Kelantan berjaya bangkit semula dan menduduki tempat keempat Liga Super musim lalu walaupun berdepan pelbagai masalah. Namun, dia dikhabarkan menolak kontrak sambungan bagi melatih Kelantan buat musim 2017.
Kesimpulan
Satu kerugian buat Kelantan kerana melepaskan figura hebat ini.
Dikhabarkan bahawa Popov masih belum dibayar tunggakan gaji oleh pasukan Kelantan selepas dia berbalas tweet bersama bekas pemain Kelantan Jonathan McKain pada bulan Februari yang lalu.
Popov juga menyatakan bahawa ‘tangan ghaib’ yang mengganggu pengurusan dalam pengambilan pemain import antara perkara yang akan merosakkan bolasepak Malaysia.
Semoga Popov akan membawa Sisaket FC dengan baik dan menunjukkan kepada Kelantan bahawa mereka rugi melepaskannya.
Other posts by Khairul Nizam