Badminton

Liu Ying tidak puas hati mutu pengadilan, BAM hantar surat bantahan

Tewas kerana pengadil.

Tewas kepada lawan yang lebih hebat itu bukan satu masalah. Tetapi tewas kerana beberapa keputusan pengadil yang boleh didebatkan itu satu masalah.

Bergu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying masih tidak boleh menerima beberapa keputusan umpire yang dilihat antara punca mereka tewas di peringkat akhir Kejohanan All England yang lalu.

Tidak puas hati.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying tewas 21-18, 19-21, 16-21 kepada pasangan China Lu Kai-Huang Yaqiong dalam masa 86 minit pada hari Ahad lalu.

Namun, apa yang menarik perhatian adalah beberapa keputusan umpire yang dilihat mengganggu rentak bergu campuran negara itu.

Perkara ini turut menjadi perbualan peminat badminton di media sosial yang mempersoal beberapa keputusan umpire dalam perlawanan tersebut yang dilihat tidak tepat.

Liu Ying yang menerima kekalahan mereka kepada bergu yang lebih hebat berharap Persekutuan Badminton Dunia (BWF) akan menilai kualiti umpire di kejohanan bertaraf dunia.

Umpire ganggu rentak

Memetik kenyataan Liu Ying dari akhbar The Star: “Secara keseluruhan, Peng Soon dan saya bermain dengan baik di (Kejohanan) All England. Ianya hebat untuk mara ke perlawanan akhir pertama kami. Kami hampir menang, tetapi pihak lawan kami bermain dengan lebih baik. Namun, kami kecewa denhgan mutu pengadilan.”

Antara yang menjadi perdebatan adalah apabila Peng Soon dikenakan kad kuning kerana tidak mematuhi peraturan 20 saat untuk kembali ke gelanggang walaupun dia telah menyatakan bahawa dia tidak mendengar arahan itu.

“Umpire menyatakan bahawa dia (Peng Soon) tidak mengikut peraturan 20 saat untuk kembali ke gelanggang selepas rehat.

“Kami tidak dengar. Peng Soon pergi ke umpire untuk menjelaskan situasi, tetapi dia dikenakan kad kuning.”

Selain itu, turut menjadi persoalan adalah apabila salah satu hantaran yang dibuat Peng Soon dibatalkan kerana terkena jaring serta pengadil yang tidak membenarkan bulu tangkis ditukar.

“Kemudian, salah satu dari hantaran dibatalkan…dia tidak menyentuh jaring.

“Kami juga meminta untuk menukar bulu tangkis, tetapi dia mengambil bulu tangkis tersebut dan membalingnya ke sebelah gelanggang lawan. Kami rasa terganggu…tetapi kami buat segalanya untuk fokus terhadap perlawanan.

“Saya bukan mencari alasan..kalah tetap kalah. Kami cuma rasa umpire tidak menyebelahi kami…dan itu mengganggu rentak kami.”

BAM hantar surat bantahan

Perkara ini telah mendapat perhatian Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Timbalan Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata bahawa perkara ini telah dinilai oleh Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen.

Memetik kenyataannya di Harian Metro, dia berkata: “Saya sudah beritahu Pengarah Teknikal BAM Morten Frost Hansen untuk menilai situasi ini dan bersetuju untuk menghantar surat bantahan kepada BWF dan England BA.

“Saya berharap selepas ini, para pemain kita akan lebih matang menghadapi situasi seumpama itu kerana ia boleh menjejaskan permainan mereka.”

Isu berkenaan umpire ini walaupun kadangkala dilihat kecil tetapi mampu mengubah rentak permainan.

Diharap pihak BWF akan menilai situasi ini dan memastikan kualiti umpire di kejohanan bertaraf antarabangsa akan sentiasa terjaga.

Other posts by