Football

Michael Essien dikhabarkan bakal sertai Persib Bandung

Seorang bekas pemain Chelsea yang memainkan peranan penting ketika kelab Inggeris itu menjuarai Liga Perdana Inggeris telah dikaitkan dengan perpindahan ke Indonesia.

Di saat ramai pemain terkenal dari Liga Inggeris menunjukkan minat untuk bermain di Amerika Syarikat dan China, pemain tengah ini dikatakan berminat dengan perpindahan ke Asia Tenggara.

Essien dalam radar kelab Indonesia

Pemain Ghana, Michael Essien dikhabarkan sedang berunding dengan pasukan Persib Bandung di Indonesia untuk perpindahan ke kelab berkenaan.

Beberapa sumber menyatakan bahawa kelibat Essien kelihatan di beberapa pusat latihan kelab-kelab di Indonesia tetapi Persib dikhabarkan paling berpotensi untuk mendapatkan pemain berkenaan berbanding satu lagi pasukan yang dikaitkan iaitu Pusamania Borneo FC.

Kedua-dua pasukan berkenaan dikatakan sememangnya mencari pemain bertaraf dunia untuk menyertai pasukan mereka selepas gagal mendapatkan bekas bintang Barcelona dan AC Milan, Ronaldinho.

Bahkan, jika anda melungsuri laman wikipedia Persib, nama Essien telah terpapar dalam senarai pemain Persib Bandung.

Photo credit: Wikipedia

Jurulatih Persib nafi

Jika tawaran ini dilengkapkan, Essien akan menjadi pemain dengan gaji tertinggi di Liga 1 Indonesia apabila dikhabarkan bakal menerima gaji sebanyak 800,000 Euro setahun.

Namun, ketua jurulatih Persib, Djajang Nurdjaman telah menafikan bahawa Essien akan menyertai pasukan yang berpengkalan di Bandung itu.

“Dia tiada kena mengena dengan Persib. Mungkin dia sedang bercuti di Indonesia,” ulas Djajang dalam satu temuramah bersama Goal.com.

Essien yang pernah memenangi Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara bersama Chelsea sebelum ini telah ditolak oleh tiga kelab Sweden apabila AIK, Hammarby dan IFK Göteborg telah menolak untuk mendapatkan pemain tersebut.

Kesimpulan

Kehadiran pemain ternama di Asia Tenggara di penghujung kerjaya bukanlah perkara baru kerana sebelum ini kita sudah melihat pemain seperti pemenang Piala Eropah, Daniel Guiza dan bintang Argentina Pablo Aimar bermain untuk Johor Darul Ta’azim.

Pemain dari Liga Inggeris juga sering beraksi di Asia Tenggara seperti Tony Cottee untuk Selangor dan Zesh Rehman di Pahang serta El Hadji Diouf dan Abdoulaye Faye di Sabah.

Kehadiran Essien mungkin boleh menjadi salah satu tarikan untuk Liga Indonesia yang cuba dihidupkan semula selepas sekian lama berlaku masalah di Indonesia.

Namun, jika Essien tidak bermain bersama Persib Bandung pun tidak akan mengurangkan jumlah penyokong kerana penyokong Persib atau lebih dikenali sebagai Bobotoh sentiasa memenuhi stadium mereka walaupun tiada bintang ternama dunia.

Other posts by