Football

Ikuti kursus di Malaysia, jurulatih muda Indonesia kini melatih pasukan kelab China

China buat masa ini telah menjadi antara negara gergasi bolasepak apabila berjaya menarik pemain-pemain bertaraf dunia seperti Carlos Tevez, Oscar, Hulk dan Ramires untuk bermain di sana.

Selain pemain bertaraf dunia, mereka juga berjaya menarik jurulatih-jurulatih hebat untuk melatih kelab-kelab mereka. Antaranya seperti Fabio Cannavaro yang melatih Tianjin Quanjian, Luiz Felipe Scolari yang menjadi pengurus Guangzhou Evergrande dan Marcelo Lippi yang dahulunya melatih pasukan Guangzhou Evergrande juga namun kini bersama skuad kebangsaan China.

Jurulatih muda Indonesia di China

Di sebalik nama besar itu, ada seorang jurulatih muda yang berasal di Indonesia melatih pemain muda di Liga China.

Muhammad Yusup Prasetyo, bekas pemain Persija Jakarta junior kini bertugas sebagai jurulatih pasukan Bawah 15 tahun Lijiang FC yang akan beraksi di Liga Bawah 15 tahun China.

Yusup yang berusia 26 tahun telah menandatangani kontrak selama dua tahun untuk melatih pasukan muda itu.

Pernah bermain untuk pasukan Bawah 17 Tahun Indonesia

Yusup yang lebih dikenali sebagai Yoyo sebelum ini pernah beraksi bersama skuad bawah 17 tahun Indonesia bersama pemain seperti Oktovianus Maniani. Namun, dia tidak meneruskan kerjaya sebagai pemain bolasepak tetapi meneruskan pengajian di Fakultas Ilmu Tarbiyah dan Kegurusan Jurusan Pendidikan Bahasa Indonesia di Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah.

Yoyo sebelum ini mendapatkan lesen kejurulatihan pertamanya (Lesen C AFC) di Brunei pada 2014 kerana berdepan kesukaran mendapatkan lesen di Indonesia disebabkan PSSI yang lebih mengutamakan bekas pemain kebangsaan untuk mengikuti kursus kejurulatihan.

Ambil kursus di Malaysia

Selepas melatih pasukan di Indonesia, Yoyo ke Kuala Lumpur bagi melanjutkan tahap lesennya pada 2016 kerana PSSI yang baru diaktifkan belum mempunyai program untuk mendapatkan lesen.

“Ketika mengikuti kursus di Malaysia inilah yang memberikan saya peluang berkerja di China. Disebabkan tenaga pengajar kami berasal dari China, dia menyatakan bahawa dia akan merekrut saya apabila saya mendapat ranking yang bagus. Alhamdulillah saya lulus dengan mendapat tempat kedua,” kata Yoyo kepada Bola.com

Kesimpulan

Yusup kini menjadi pelatih paling muda Indonesia yang melatih kelab di luar negara.

Bagaimana dengan jurulatih Malaysia? Yusup mendapat peluangnya selepas mengikuti kursus di Malaysia? Jadi mengapa tiada anak muda sama ada bekas pemain kebangsaan atau orang biasa yang mahu mencuba nasib melatih pasukan di luar negara?

Other posts by