Football

Cucu bekas Presiden Indonesia perkuat pasukan U19 Garuda

Bayangkan cucu kepada Allahyarham Tunku Abdul Rahman bermain untuk pasukan kebangsaan. Atau cucu kepada Tun Abdul Razak, atau Tun Hussein Onn, Tun Mahathir.

Bagi pasukan Indonesia, mereka mempunyai cucu kepada salah seorang bekas Presiden mereka yang mendapat panggilan untuk menyertai pasukan bawah 19 tahun mereka di bawah kendalian Indra Sjafri.

Siapa dia?

Rafid Habibie merupakan cucu kepada bekas Presiden ketiga Indonesia, Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai B.J Habibie.

Pemain muda ini adalah di antara 12 pemain muda Indonesia yang beraksi di luar negara dan dipanggil untuk mengikuti latihan bersama pasukan bawah 19 tahun di bawah kendalian Indra Sjafri serta pasukan bawah 22 tahun kendalian Luis Milla.

Rafid kini sedang menjalani program latihan di Itali dan pada awal tahun lalu berlatih bersama Bali United di bawah kendalian Indra.

Rafid cuba sertai Sporting Lisbon

Memetik laporan dari bolalob.com, Rafid menceritakan pengalamannya di Itali: “Ketika ini saya sedang menjalani latihan bersama ISM Academy Talent Identification Program di Perugia. Perancangannya adalah saya akan berada di sini sehingga bulan Jun dengan harapan akan ada pasukan yang menawarkan kontrak.”

Pemain muda ini juga pernah menjalani pemilihan untuk menyertai Sporting Lisbon sebanyak tiga kali.

“Saya sempat menjalani trial sebanyak tiga kali di Sporting. Kali pertama ketika musim panas 2015, yang kedua bulan September sehingga Oktober 2015 dan paling baru adalah pada bulan Mei hingga Jun 2016. Malangnya saya tidak diterima.”

Siapa lagi pemain yang dipanggil?

Selain Rafid, seramai 12 orang pemain yang sedang beraksi di luar negara telah dipanggil oleh Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) untuk menyertai kem latihan dan pemilihan skuad Bawah 19 tahun dan Bawah 22 tahun Indonesia.

Termasuk Rafid, mereka adalah Sammuel Christianson, Syahrian Abimanyu, Nicholas Pambudi, Pancar Nur Widiantono, Adam Putra Firdaus (Sepanyol), Excel Favour, Fidelis Kelby (Itali), George Brown, Jack Brown (England), Charalamboos Elias David (Greece) dan Andri Syahputra yang beraksi di Qatar.